Ucapan Dasar Wanita, Pemuda, Puteri Tekankan Penyatuan Dalaman – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini jelas memberi penekanan kepada usaha memperkukuh penyatuan dalaman parti selain meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ucapan dasar yang disampaikan memperlihatkan analisis terhadap isu-isu semasa yang perlu disantuni dan didepani oleh parti, termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, perkara paling penting yang diketengahkan menerusi ucapan dasar adalah soal penyatuan dan kesiapsiagaan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Ucapan dasar keseluruhannya saya lihat ke arah terutamanya penyatuan dalaman dan ia memperlihatkan analisis terhadap isu-isu semasa yang harus disantuni dan didepani oleh parti.
“Mereka telah menyarankan agar kesiapsiagaan untuk menghadapi bukan sahaja pilihan raya di negeri Melaka tetapi secara umumnya untuk PRU ke-16,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu di Laman Media, di sini, hari ini.
Sebelum itu beliau berkesempatan mengikuti ucapan dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang berlangsung di dewan berasingan bersempena Perhimpunan Agung UMNO hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata UMNO tidak mempunyai sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti kukuh bagi membolehkan sesuatu pendakwaan dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, sebarang tindakan pendakwaan sewajarnya didahului dengan siasatan yang dijalankan secara adil dan telus.
“Saya tidak dapat maklumat rasmi lagi mengenai perkara itu (penahanan) tetapi pendirian kami ialah bahawa jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan.
“Tapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan tentunya ia dimulakan dengan siasatan dan siasatan itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Mengulas dakwaan berkaitan dokumen profarmasi, Ahmad Zahid berkata beliau telah dimaklumkan bahawa beliau tidak terlibat dan tidak berada ketika dokumen berkenaan ditandatangani.
Katanya, penjelasan lanjut berhubung perkara itu sewajarnya dibuat oleh peguam yang menyediakan, menyaksikan serta menyimpan dokumen berkenaan.

“Jadi, saya telah menyatakan semalam bahawa kita serahkan kepada peguam yang menyediakan dokumen berkenaan dan yang menyaksikan serta menyimpan dokumen itu untuk membuat kenyataan.
“Ianya keluar daripada pengetahuan secara rasmi oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara berkenaan kerana tidak berada dalam majlis atau ketika dokumen tersebut ditandatangani.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad Zahid berkata UMNO sentiasa mengharapkan yang terbaik.
Beliau menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Kita mengharapkan yang terbaik dan kerana kuasanya adalah hak mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
“Saya yakin budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku akan menentukan terhadap keputusan muktamad dan hak mutlak Tuanku untuk diumumkan,” katanya lagi. – UMNO Online
