Politik Kepercayaan Mesti Dibina Dengan Tindakan, Kebenaran – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Politik kepercayaan tidak boleh dibina hanya dengan meminta rakyat mempercayai parti, sebaliknya ia mesti diterjemahkan melalui kehadiran, kesediaan mendengar, kejujuran serta tindakan yang konsisten.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kepercayaan rakyat perlu dibina dari bawah dengan memastikan pemimpin sentiasa hadir bersama rakyat, bukan hanya muncul ketika memerlukan sokongan.

Menurutnya, politik kepercayaan bermula dengan hadir ketika rakyat memerlukan, selain bersedia mendengar pandangan termasuk kritikan daripada mereka yang masih belum yakin terhadap perjuangan parti.

“Jangan hanya hadir apabila kita memerlukan rakyat. Hadirlah ketika rakyat memerlukan kita.

“Ia bermula dengan mendengar. Jangan hanya mendengar orang yang memuji kita, tetapi dengarlah orang yang mengkritik kita. Dengarlah mereka yang masih belum percaya kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO di Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Beliau berkata, khususnya bagi golongan muda yang masih belum memberikan kepercayaan kepada UMNO, tugas parti bukan untuk memaksa mereka percaya, sebaliknya memberikan ruang dan membuktikan melalui tindakan mengapa mereka wajar memberikan kepercayaan tersebut.

“Kalau orang muda tidak percayakan kita, tugas kita adalah memberikan mereka kesempatan untuk percaya kepada kita,” katanya lagi.

Tambah beliau, politik kepercayaan juga menuntut kejujuran dan keberanian untuk mengakui kemampuan serta keterbatasan parti dalam memenuhi sesuatu tuntutan rakyat.

“Pemimpin tidak perlu menjanjikan terlalu banyak perkara semata-mata untuk meraih sokongan, sebaliknya perlu berterus terang mengenai perkara yang mampu dilakukan, perkara yang memerlukan masa dan perkara yang masih belum mampu dilaksanakan.

“Kepercayaan tidak boleh diminta, kepercayaan mesti dibina. Dan kepercayaan yang mahu bertahan mesti dibina atas kebenaran. Kalau kita tidak mampu, beritahu yang benar. Jangan menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tahu belum tentu mampu dilaksanakan,” jelasnya.

Seterusnya kata beliau, kepercayaan rakyat akhirnya hanya akan kekal apabila kata-kata disusuli tindakan, kerana rakyat hari ini bukan sekadar mahu mendengar janji, tetapi mahu melihat hasil yang nyata.

“Kepercayaan akan lahir apabila kata-kata kita bertemu dengan tindakan. Kalau kita berkata, kita mesti membuktikannya melalui perbuatan.

“Pendekatan itu penting bagi memastikan UMNO terus relevan, khususnya dalam mendekati generasi muda yang semakin kritikal serta menilai parti berdasarkan keberanian, kejujuran dan kemampuan menunaikan tanggungjawab,” ujarnya.

Justeru, beliau mengajak seluruh warga Puteri UMNO untuk menjadikan politik kepercayaan sebagai budaya baharu perjuangan dengan sentiasa dekat dengan rakyat, terbuka menerima teguran dan berani membuktikan setiap kata-kata melalui tindakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO