Pemuda UMNO Sedia Perkukuh Jentera, Perjuang Kepentingan Rakyat Hadapi PRU-16

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO bersedia memperkukuh jentera parti dan berdepan habis-habisan dalam pilihan raya akan datang, selain memastikan kepentingan rakyat terus menjadi agenda utama perjuangan parti.

Wakil Pemuda UMNO Selangor, Shah Zanuriman Niar Paras Khan berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah perlindungan pendapatan golongan pekerja gig yang kini menjadikan pekerjaan berasaskan platform digital sebagai sumber pendapatan utama.

Katanya, walaupun terdapat Akta Pekerja Gig dan perlindungan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, perlindungan terhadap golongan berkenaan masih belum menyeluruh.

“Pemuda Selangor mencadangkan supaya subsidi kerajaan sebanyak 70 peratus bagi caruman skim pekerjaan sendiri kepada pekerja gig dikekalkan secara berterusan.

“Bagi menjamin kelangsungan dan memastikan pendapatan pula, kerajaan perlu menetapkan satu paras minimum yang wajib dipatuhi oleh setiap platform,” katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026, hari ini.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menetapkan standard minimum bayaran gig yang selaras dan wajib dipatuhi semua platform e-hailing serta p-hailing.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mewujudkan garis panduan atau kadar komisen yang selaras antara platform bagi memastikan pendapatan pekerja gig lebih terjamin dan adil.

“Pendapatan pekerja gig mesti terlindung dan yang paling penting ada keadilan buat pekerja gig,” katanya.

Sementara itu, Wakil Pemuda UMNO Perlis, Ahmad Shahroul Ahmad Daud berkata pihaknya sentiasa menyokong sebarang usaha penyatuan umat Melayu dan Islam sekiranya ia benar-benar membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk kerjasama politik pada masa hadapan perlu mengambil kira realiti politik di setiap negeri, termasuk Perlis yang mempunyai landskap politik berbeza berbanding negeri lain.

“Kami memohon agar suara akar umbi Perlis didengari sedalam-dalamnya terlebih dahulu. Janganlah hanya mendambakan kemenangan dan kekuasaan yang bersifat sementara akhirnya mengundang perpecahan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Kemenangan sebenar bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi memastikan penyatuan bangsa Melayu yang terjalin akan kekal kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shahroul menegaskan Pemuda UMNO Perlis akan menerima apa juga keputusan kepimpinan parti dengan hati terbuka atas kepentingan bangsa dan agama.

“Jentera Pemuda UMNO telah bersepakat untuk menyatakan bahawa kita, Pergerakan Pemuda UMNO akan perang habis-habisan dalam pilihan raya yang akan datang ini.

“Tidak kiralah yang mana kawan, lawan dalam pilihan raya nanti, apabila sudah ditetapkan pilihan raya, kerjasama, Pemuda akan berlawan habis-habisan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO