Pemuda UMNO Perkemas Jentera, Sedia Hadapi PRU Akan Datang – Hafiz

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memperkemas kesiapsiagaan organisasi di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata, persiapan berkenaan termasuk menggerakkan sistem MyUMNO serta memperkukuhkan pasukan war room dari peringkat negeri hingga ke akar umbi.

Beliau berkata, taklimat persiapan pilihan raya juga telah dilaksanakan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, selain satu retreat berimpak akan dilaksanakan bagi menggembleng seluruh kekuatan Pemuda di setiap lapisan organisasi.

“Dalam melangkah ke hadapan, kita semestinya menang bertempur dengan parti politik lain di medan PRU akan datang. Kita mahu mendapatkan kepercayaan rakyat agar diberikan mandat untuk menggubal polisi dan dasar demi melaksanakan agenda rakyat dan bumiputera,” katanya.

Menurut Hafiz, kemenangan yang diraih dalam pilihan raya negeri baru-baru ini tidak seharusnya menyebabkan Pemuda leka kerana ia tidak menjamin kemenangan pada PRU akan datang.

Sebaliknya, katanya, Pemuda perlu terus membaca perubahan sentimen rakyat dan dinamika politik negara yang berubah dengan pantas.

“Kita mesti bersiap sedia lebih awal. Ilmu bertempur dengan lawan mesti dalam genggaman kita, ilmu memikat rakyat mesti sudah sebati dan ilmu mematahkan segala tohmahan dan fitnah lawan mesti kita kuasai,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, Pemuda UMNO kini mempunyai 11 wakil rakyat berbanding hanya empat orang tiga tahun lalu, yang disifatkannya sebagai gambaran peningkatan kepercayaan rakyat terhadap calon kepimpinan muda UMNO.

Beliau menegaskan Pemuda bukan sekadar mampu bertanding, malah berupaya meraih kemenangan dan menyumbang kerusi kepada parti.

Hafiz turut menyeru seluruh anggota Pemuda agar terus memperkukuh parti, menyatukan ummah serta membawa manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO