Kelab UMNO Luar Negara Bakal Diformalisasikan Di Bawah Perlembagaan UMNO

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan bahawa kelab tersebut bakal diformalisasikan di bawah Perlembagaan UMNO.

Ujarnya, dalam merealisasikan matlamat tersebut, peraturan kini sedang digubal dan drafnya akan diserahkan kepada Pengerusi Perlembagaan UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi.

“Untuk makluman kita dalam proses untuk memformalkan Kelab UMNO Luar Negara. Peraturan kita sedang digubal dan kita diserahkan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Perlembagaan untuk diperhalusi.

“Begitu juga dengan UMNO Siswa, kita sedang dalam proses memuktamadkan peraturan yang akan dilampirkan di belakang Perlembagaan parti.

“Insya-Allah, apabila mendapat sokongan daripada Presiden dan barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kita akan memformalkan secara rasmi Kelab UMNO Luar Negara dan UMNOSiswa di bawah Perlembagaan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara dan UMNOSiswa, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut memaklumkan bahawa perwakilan daripada Kelab UMNO Luar Negara yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada tahun ini adalah daripada lima buah negara iaitu United Kingdom, Mesir, Jordan, Indonesia dan Moscow-Rusia.

“Untuk makluman, sebahagian besar yang hadir pada hari ini adalah perwakilan PAU. Kelab UMNO Luar Negara telah menghantar perwakilan paling ramai pada tahun ini iaitu seramai 57 orang. UMNOSiswa pula lebih kurang 50 orang.

“Perwakilan daripada Kelab UMNO Luar Negara yang hadir ke PAU pada tahun ini adalah dari lima buah negara iaitu United Kingdom, Mesir, Jordan, Indonesia dan Moscow-Rusia.

“Moscow-Rusia telah sekian lama tidak menghantar perwakilan dan pada tahun ini buat pertama kalinya mereka berbuat demikian. Alhamdulillah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas dorongan dan sokongan beliau kepada Kelab UMNO Luar Negara serta UMNOSiswa.

“Semua perwakilan, amat teruja dan gembira dapat hadir ke PAU. Tahun ini adalah PAU yang cukup penting dan pada mereka, PAU kali ini cukup meriah serta penuh dengan semangat.

“Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas dorongan dan sokongan kepada Kelab UMNO Luar Negara serta UMNOSiswa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar jurucakap yang diamanahkan untuk berucap pada PAU akan memberikan persembahan terbaik.

“Kepada semua jurucakap, ‘all the best’ diucapkan. Berikanlah persembahan yang terbaik sebagai wakil daripada Kelab UMNO Luar Negara dan juga UMNOSiswa.

“Kita mesti berbangga bersama-sama melihat kebolehan dan kepetahan anak-anak kita bercakap di hadapan perwakilan dan pada PAU kali ini.

“Mudah-mudahan pertemuan ini akan dapat memberikan kita sesuatu natijah yang baik, sepadan dengan semangat PAU,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung BN merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan para pelajar dari Kelab UMNO Luar Negara serta UMNOSiswa. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO