“Kalau Tak Boleh Balas Jasa, Kenanglah Jasa” – Dr. Muhammad Naqib
KUALA LUMPUR, 10 Sept – “Kalau tak boleh balas jasa, kenanglah jasa,” menjadi mesej penutup pembahas Usul Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026, hari ini.
Dr. Muhammad Naqib yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor seterusnya berkata prinsip mengenang jasa dan pengorbanan perlu sentiasa diterapkan, termasuk kepada generasi muda ketika beliau turun ke sekolah-sekolah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Katanya, antara pesanan yang sering disampaikan kepada pelajar ialah supaya tidak melupakan jasa guru dan ibu bapa yang telah banyak berkorban dalam membentuk kehidupan mereka.
“Kalau tak boleh balas jasa, kenanglah jasa. Saya ulang, kalau tak boleh balas jasa, kenanglah jasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh kenyataan sesetengah pihak yang disifatkannya sebagai mencabar institusi Yang di-Pertuan Agong, khususnya berkaitan kuasa pengampunan.
Menurut beliau, sebagaimana anak-anak sekolah diajar untuk menghargai jasa guru dan ibu bapa, perkara sama perlu diterapkan dalam kehidupan bernegara dengan menghormati institusi serta pihak yang mempunyai kedudukan dan peranan penting kepada negara.
“Jadi pada hari ini, saya ingin kongsikan juga apabila kita melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak berkaitan perkara ini yang seolah-olah mencabar Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong berkaitan kuasa pengampunan,” katanya.
Dr. Muhammad Naqib turut menegaskan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“Bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, kami bersama dengan institusi Raja dan kami akan pertahankan sehingga titisan darah terakhir. Insya-Allah,” katanya.- UMNO Online
