Jangan ‘Takut’ Bergerak, Ambil Peduli Suara Rakan Mahasiswa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru para pemimpin mahasiswa di dalam mahupun di luar negara untuk tidak mempunyai perkataan ‘takut’ dalam kamus hidup mereka.

Ini kerana katanya, perkembangan terkini mengenai Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sedia ada dilihat memberi sekatan kepada para pemimpin pelajar untuk bergerak di atas nama parti.

“Semalam mungkin anak-anak mahasiswa berkesempatan mendengar Taklimat Presiden semalam. Esok saya akan menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Perkembangan mutakhir adalah mengenai AUKU. Saya tahu ada sekatan untuk bergerak di luar dan di dalam negara atas nama UMNO. Pedulikan, kita teruskan apa yang telah direncana.

“Kita perkukuh dan perkuatkan lagi Kelab UMNO Luar Negara. Dalam AUKU cuma 15 peratus yang menyantuni mahupun menghalang mahasiswa daripada bergerak dalam politik. 85 peratus adalah untuk pengendalian institusi pengajian. Tidak ada kena-mengena sepatutnya.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ingin mengabsahkan dukungan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bahawa jangan khuatir. Insya-Allah tidak akan ada sekatan kepada aktiviti-aktiviti politik khususnya kepada mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara dan UMNOSiswa, sebentar tadi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan bahawa suara anak muda mengenai isu semasa amat penting untuk melakar strategi parti pada masa akan datang.

“Kita akan ‘gelombang birukan’ seluruh negara memandangkan ia sudah sampai. Kita tidak mahu apabila janji tidak ditepati dan kata tidak dikota. UMNO/BN tidak sebegitu rupa.

“Dalam hal ini, saya ingin meminta jurucakap dari Kelab UMNO Luar Negara dan UMNOSiswa untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di benak masing-masing, mewakili suara rakan-rakan.

“Suara anak muda amat penting. Kalau tidak diluahkan, ayahanda dan bonda tidak akan pernah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Jika ada harimau, keluarkanlah singa sebab kita mahu dengar apa yang ada dalam benak dan minda mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa parti yang menjadi kerajaan perlu mengambil maklum dan peduli mengenai masalah pelajar di dalam mahupun luar negara.

“…jangan ada perkataan ‘takut’ dalam kamus kepimpinan mahasiswa di dalam mahupun luar negara. Inilah platform yang terbaik untuk anak-anak semua.

“Insya-Allah saya akan dengar apa sahaja keluhan yang akan disampaikan oleh jurucakap terutamanya mengenai permasalahan pelajar di luar negara. Kita mesti menjadi parti kerajaan yang peduli akan masalah pelajar,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung BN merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohamad Alamin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan para pelajar dari Kelab UMNO Luar Negara serta UMNOSiswa. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO