Dewan Merdeka Hiba Kenang Jasa Najib Razak

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Suasana hiba menyelubungi Dewan Merdeka hari ini apabila pembahas Wilayah Persekutuan, Zauyah Zainuddin mengenang sumbangan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada parti dan negara.

Beliau yang juga Setiausaha Kerja Wanita UMNO Malaysia dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap segala khidmat bakti yang dicurahkan Najib sepanjang menerajui negara serta perjuangannya bersama UMNO.

Kenangan terhadap kepimpinan dan sumbangan Najib turut mengundang suasana penuh emosi dalam kalangan perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO (PAU) 2026.

“Izinkan saya membawa satu suara yang dekat di hati keluarga besar UMNO. Dalam kita melangkah ke hadapan, kita tidak pernah melupakan insan yang pernah memimpin parti dan negara Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Apa pun perbezaan pandangan yang wujud, jasa dan sumbangan beliau kepada pembangunan negara serta perjuangan parti tidak dapat kita padamkan dari sejarah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak turut sama menzahirkan harapan agar permohonan pengampunan penuh Najib dapat dipertimbangkan dengan penuh ihsan dan kebijaksanaan.

“Ini ialah doa dan harapan daripada sebuah keluarga besar perjuangan yang tidak pernah melupakan pemimpinnya.

“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan beliau, memberikan kekuatan kepada keluarganya dan membuka jalan kepada sebuah pengakhiran yang baik buat Datuk Seri Najib jauh di mata, namun tetap dekat di hati kami,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO