UMNO Terbuka Bekerjasama Demi Perjuangan Bangsa Dan Agama

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Mengambil iktibar daripada kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, serta kekalahan di Sabah, UMNO sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa dan agama, ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, UMNO tidak menutup ruang untuk kesatuan bangsa Melayu dilaksanakan rentas parti dan ideologi bahkan akan menyambutnya dengan berlapang dada, dengan syarat kerjasama itu mestilah ada kejelasannya.

Pertama katanya, ia mestilah dianjurkan dengan niat yang ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu Islam, bukan berjeda, tiada agenda, bukan bermusim dan bukan sama sekali untuk mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO.

“UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan sebelum ini. Kita tidak akan lupa pengalaman pahit itu. Justeru UMNO tidak akan membiarkan ia diperbudakkan lagi. Kerana itu UMNO amat berhati-hati. UMNO tidak mahu pengalaman buruk itu berulang lagi.

“Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya-Allah. Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa, dalam apa jua keadaan,” kata Timbalan Pengerusi BN itu.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Hadir sama barisan Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Kedua tambahnya lagi, kerjasama tersebut mesti bersandarkan visi ‘Rumah Bangsa’ yang UMNO pelopori.

“Apa sahaja kerjasama politik bangsa Melayu yang tidak dimeterai dalam semangat dan aspirasi ‘Rumah Bangsa’, tidak akan menguntungkan UMNO. Kerjasama ini mesti dinaungi oleh UMNO. Ia mesti menjadikan UMNO itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu.

“UMNOlah yang telah membidani kelahiran nasionalisme Melayu, dan ia akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya. Justeru janganlah mempunyai prasangka terhadap visi ‘Rumah Bangsa. hanya kerana ia diilhamkan oleh UMNO,” katanya.

Ketiga jelasnya, apa juga kerjasama politik yang diusahakan dalam konteks perpaduan Melayu Islam, mestilah anjal atau fleksibel.

“UMNO tidak memerlukan perikatan-perikatan politik baru. UMNO akan kekal dengan Barisan Nasional, kini dulu dan selamanya.

“Segala kerjasama, mestilah luwes. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya,” katanya.

Terakhir, Mohamad berkata UMNO tidak suka terhutang budi, apatah lagi berharap dengan naungan parti lain, untuk kelangsungan sokongan Melayunya.

“UMNO telah dan akan terus membangunkan kekuatan sendiri seperti sebelumnya. Kepada mereka yang telah membantu, kita zahirkan ucapan terima kasih. Tetapi selama mana UMNO harus berharap kepada bantuan dan budi baik rakan politiknya?

“Parti ini mempunyai pengalaman tersendiri, dan ia akan memanfaatkan pengalaman tersebut untuk membina ketumbukan sokongan yang ‘solid’ dan ampuh di kalangan bangsa Melayu.

“Mengharapkan ihsan dan bantuan, bukan sesekali fikrah UMNO. Fikrah UMNO ialah, ia yang seharusnya memberi perlindungan dan naungan kepada bangsa Melayu, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO