Selamat Bersidang Di Perhimpunan Agung UMNO 2026 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO dari seluruh negara yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, PAU 2026 menjadi medan penting untuk seluruh perwakilan membawa suara, pengalaman serta amanah daripada akar umbi, selain bermuhasabah dan bertukar pandangan bagi memperkukuh kesatuan parti.

“Setiap kali kita kembali berhimpun di Rumah Bangsa ini, kita datang membawa suara, pengalaman dan amanah daripada akar umbi. Di sinilah kita bermuhasabah, bertukar pandangan dan memperkukuh kesatuan dalam menentukan langkah perjuangan UMNO mendepani realiti politik semasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Ahmad Zahid, Rumah Bangsa yang menjadi simbol perjuangan UMNO telah melalui pelbagai zaman, ujian dan cabaran, namun terus berdiri berikutan kekuatan yang berteraskan kesetiaan, kebersamaan dan keyakinan terhadap perjuangan parti.

“Rumah Bangsa ini telah melalui pelbagai zaman, pelbagai ujian dan pelbagai cabaran. Namun, Rumah Bangsa ini terus berdiri kerana kekuatannya bukan sekadar pada sejarah, tetapi pada kesetiaan, kebersamaan dan keyakinan orang-orang yang terus percaya kepada perjuangannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyeru seluruh perwakilan agar memanfaatkan PAU 2026 untuk menyatukan fikrah, merapatkan saf serta membina kekuatan baharu demi memperkukuh perjuangan UMNO.

“Insya-Allah, manfaatkanlah PAU 2026 ini untuk kita menyatukan fikrah, merapatkan saf dan membina kekuatan baharu. Mudah-mudahan segala usaha ini mendapat keberkatan dan petunjuk daripada Allah SWT,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan selamat bersidang dan salam perjuangan kepada seluruh perwakilan yang hadir ke PAU 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO