Platform Digital Bergerak Seiring Dengan Penerangan UMNO Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa platform dan kemajuan digital perlu bergerak seiring dengan Penerangan UMNO Malaysia.

Ini kerana katanya, penerangan parti politik hari ini tidak boleh lagi dilakukan dengan kaedah lama untuk memastikan naratif dan mesej disampaikan kepada sasaran secara tepat.

“Program Penerangan Malaysia 2026 kali ini agak berbeza kerana kita memberikan lebih banyak fokus kepada pendekatan baharu.

“Kita menerima hakikat bahawa penerangan parti politik hari ini tidak boleh lagi dilakukan dengan kaedah lama. Ia bukan lagi semata-mata mengenai naratif atau ceramah, tetapi lebih kepada penyampaian dan bagaimana mesej itu disampaikan kepada sasaran.

“Salah satu perkara yang kita nilai daripada pengalaman di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar ialah penekanan terhadap platform digital. Platform ini sudah menjadi salah satu elemen penting dalam komunikasi hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Majlis Penerangan UMNO Malaysia, sebentar tadi.

Tambahnya, pendekatan baharu tersebut akan memudahkan para jentera parti bergerak seiring perkembangan platform digital.

“Jadi, parti politik tidak boleh berjaya sekiranya kita mengecilkan peranan platform digital. UMNO sejak 1946 merupakan sebuah parti yang sangat tradisional, tetapi dengan adanya pendekatan baharu dan keahlian baharu… khususnya dalam kalangan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO, kita mahu memastikan jentera kita bergerak seiring dengan perkembangan platform digital.

“Hari ini, telefon bimbit berada di tangan semua orang dan itulah antara medium komunikasi utama. Maka, ia juga perlu menjadi sebahagian daripada pendekatan komunikasi politik kita.

“Melalui anugerah yang diberikan, kita mahu mewujudkan minat terhadap platform baharu ini, melahirkan ikon dan menggalakkan lebih banyak penghasilan kandungan seperti infografik serta pelbagai bentuk kandungan digital.

“Kita kena menerima hakikat bahawa platform digital ini merupakan sesuatu yang perlu bergerak seiring dengan penerangan UMNO Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) memaklumkan bahawa Penerangan UMNO Malaysia akan mengadakan jelajah ke negeri-negeri bermula di Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlaku tidak lama lagi.

“Selepas ini saya akan mengadakan roadshow di negeri-negeri, bermula di Melaka pada 18 September. Kita akan bertemu dengan jentera penerangan di peringkat bahagian dan memperkenalkan pendekatan-pendekatan baharu ini.

“Kalau kita lihat program tadi, banyak latihan perlu dilakukan kepada jentera. Jadi, kita akan memberikan fokus yang besar kepada aspek latihan. Sebagai Ketua Penerangan, saya tidak yakin sekiranya kita hanya memasuki pilihan raya dengan menggunakan pendekatan lama seperti mencetak bahan-bahan.

“Kita perlu mengubah pendekatan kerana komunikasi hari ini mesti padat dan pantas. Malah, sesuatu maklumat salah sekalipun boleh dipercayai lebih daripada maklumat yang benar sekiranya ia disampaikan dengan cara lebih berkesan.

“Sebab itu, jentera juga diberikan taklimat mengenai algoritma dan sistem trafik yang berlaku di platform digital supaya mereka memahami bagaimana platform tersebut berfungsi,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO