‘PAU 2026 Platform Sampaikan Hasrat Akar Umbi Yang Sebenar’ – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 merupakan platform terbaik untuk mendengar dan mengangkat suara akar umbi dalam menentukan hala tuju parti.

Beliau berkata PAU yang berlangsung pada beberapa hari lagi perlu menjadi wadah untuk menyatukan suara dan pendirian seluruh kepimpinan serta ahli parti dalam menghadapi situasi politik yang tidak menentu.

“Dalam masa yang tidak menentu ini, dengan pelbagai kekeliruan, apa yang dilaporkan dalam akhbar dan kepimpinan kerajaan hari ini, kita sebagai ahli parti dan pimpinan semua mesti menunjukkan solidariti… itu mustahak.

“Kita tidak boleh berpecah dan tidak boleh membawa banyak pendirian. Kita mesti satu suara ketika PAU ini untuk menyampaikan hasrat akar umbi yang sebenar,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Menurut beliau, suara akar umbi perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana golongan ini merupakan penentu kepada kekuatan serta kelangsungan parti.

Katanya, ia wajar diketengahkan di peringkat nasional supaya hala tuju parti benar-benar mengambil kira kehendak serta realiti di peringkat bawahan.

“Walaupun mood akar umbi UMNO mungkin tidak sesuai dengan kita sebagai pemimpin, namun merekalah yang menentukan kemenangan, kekalahan dan kelangsungan parti. Jadi ke manakah suara akar umbi ini?

“Sebenarnya, suara inilah yang perlu kita angkat di peringkat negeri dan seterusnya dibawa ke peringkat nasional,” ujar beliau.

Untuk rekod, PAU kali ini menyaksikan kehadiran seramai 6,401 perwakilan, dengan 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).

Selain itu, gerai jualan membabitkan usahawan turut disediakan selain laman korporat akan beroperasi bermula 8 September selain pelbagai program lain. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO