PAU 2026 Rumah Bangsa, Satukan Hati Dan Perkukuh Perjuangan
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bukan sekadar sebuah persidangan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk seluruh anggota parti berhimpun, menyatukan hati serta memperkukuh kesatuan dalam meneruskan perjuangan parti.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata PAU 2026 merupakan ‘Rumah Bangsa’ yang menjadi ruang untuk suara akar umbi didengari, pandangan disatukan dan semangat perjuangan kembali disemarakkan.

“Perhimpunan Agung UMNO bukan sekadar persidangan. Inilah Rumah Bangsa, tempat kita berhimpun, menyatukan hati, memperkukuh kesatuan dan menyemarakkan kembali semangat perjuangan.”
Menurut beliau, PAU 2026 juga menjadi medan untuk parti menilai perjalanan yang telah dilalui, memperbaiki kekurangan serta menyusun langkah baharu bagi menghadapi masa hadapan.
“Perhimpunan Agung UMNO bukan sekadar medan untuk berhimpun, tetapi ruang untuk kita menilai perjalanan, memperbaiki kekurangan dan menyusun langkah baharu menuju masa hadapan.”
Tengku Adnan berkata perbezaan pandangan dalam kalangan anggota parti merupakan perkara biasa, namun perkara lebih penting ialah memastikan seluruh warga UMNO terus berpijak pada landasan perjuangan yang sama.
“Kita mungkin berbeza pandangan, namun kita tetap berpijak di bumi perjuangan yang sama. Kerana kekuatan UMNO bukan hanya pada namanya, tetapi pada kesatuan hati, keteguhan prinsip dan keberanian kita untuk terus melangkah.”
Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, semangat kebersamaan dan kesatuan amat penting bagi memastikan UMNO terus menjadi sebuah parti yang kukuh, berprinsip serta sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh anggota parti supaya menjadikan PAU sebagai titik untuk membina keyakinan baharu, memperkukuh kesatuan dan memperkasa perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Daripada persidangan ini, marilah kita bersama bina keyakinan yang baharu, bersatu hati, teguh pendirian, memperkasa perjuangan dan membina masa hadapan yang lebih baik untuk agama, bangsa dan negara.” – UMNO Online
