KULN Perlu Jadi ‘Mata dan Telinga’ UMNO – Razlan
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Timbalan Pengerusi Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii, menyeru mahasiswa yang menyertai Kelab UMNO Luar Negara supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga UMNO, selain menjadi jurucakap parti di negara tempat mereka menuntut ilmu.
Jelasnya, mahasiswa perlu memahami sejarah serta perjuangan UMNO dan membawa semangat itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita mahu semua perwakilan, termasuk ahli baharu dan ‘apprentice’, menjadikan perjuangan UMNO sebati dalam diri mereka serta mampu menjadi jurucakap UMNO di luar negara.
“Mahasiswa juga perlu mempunyai keupayaan menjawab isu serta tohmahan yang timbul di media sosial dengan fakta dan hujah yang matang,” katanya ketika majlis pertemuan dengan Kelab UMNO Luar Negara.
Turut hadir Pengerusi Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara Datuk Mohamad Alamin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros serta ahli KULN.
Razlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan perkembangan teknologi dan media sosial menjadikan perang persepsi semakin sengit, namun rakyat kini semakin matang dalam menilai sesuatu maklumat.
“Apa sahaja fitnah yang dilakukan, sedang dilakukan atau bakal dilakukan, kita percaya rakyat akan menilai dan menolaknya kerana mereka semakin memahami bahawa perkara seperti ini adalah sebahagian daripada permainan politik.
“Kalau kita mahu melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju, moden dan terbuka, perkara seperti ugutan, tekanan dan manipulasi tidak sepatutnya dijadikan instrumen dalam persaingan politik,” ujarnya.
Seterusnya beliau turut menyeru mahasiswa KULN supaya terus memperkukuh ilmu, memahami isu semasa dan berani tampil membawa suara parti secara matang, berfakta serta bertanggungjawab. – UMNO Online
