Dinobat Ketua Penerangan Bahagian Terbaik, Azmee Hargai Pengiktirafan

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Selayang, Azmee Masrus menyifatkan pengiktirafan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Terbaik sebagai satu pencapaian yang membanggakan, selain hasil kerjasama dan sokongan seluruh kepimpinan serta jentera parti.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan kemenangan peribadi, sebaliknya merupakan hasil dokongan padu daripada kepimpinan bahagian, pergerakan sayap serta seluruh jentera UMNO Bahagian Selayang.

“Sudah pasti kita amat bersyukur dengan limpah dan kurnia Allah kerana dengan izin-Nya berjaya dinobatkan sebagai Ketua Penerangan Bahagian terbaik.

“Ini merupakan pencapaian kali pertama buat UMNO Bahagian Selayang dan bagi saya, kemenangan ini bukan kemenangan individu tetapi kemenangan kita secara bersama hasil sokongan serta dokongan daripada semua pihak.

“…dan dengan sokongan Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican, selain kerjasama pergerakan sayap menjadi antara faktor penting dalam memastikan gerak kerja penerangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas mengenai perancangan seterusnya, Azmee berkata tidak akan berhenti pada pencapaian tersebut, sebaliknya akan terus memperkukuh gerak kerja penerangan secara berperingkat.

“Kalau sekarang kita berada di fasa lima, kita akan masuk fasa enam, fasa tujuh dan seterusnya. Gerak kerja ini akan kita teruskan tanpa henti.

“Fokus utama selepas ini tentunya menjurus kepada kemenangan pada PRU ke-16 bagi Parlimen Selayang yang merangkumi tiga kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) iaitu Kuang, Rawang dan Templer,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu kembali menguasai Parlimen Selayang menerusi gerak kerja yang lebih tersusun, konsisten dan dekat dengan rakyat.

“Insya-Allah kita akan tawan Selayang. Kita ada hashtag #SelayangBangkit dan satu lagi prinsip, BN Selayang Mesti Menang.

“Dengan izin Allah, kita yakin UMNO/BN Selayang akan kembali menjadi kawasan dominan di Parlimen Selayang,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO