Ahmad Zahid Lancar AIRA, Lonjak Keupayaan Penerangan UMNO Berteraskan AI

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan AIRA (Artificial Intelligence Rakyat Assistance), satu inovasi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bagi memperkukuh keupayaan penerangan parti dalam mendepani landskap komunikasi dan teknologi semasa.

AIRA merupakan hasil pembangunan Penerangan UMNO Malaysia bersama Sekolah Patriotik UMNO, yang berperanan membantu memahami maklumat, membaca sentimen, menyusun pengetahuan serta menyampaikan penerangan dengan lebih pantas, tersusun dan tepat.

Pelancaran AIRA berlangsung dalam Majlis Penerangan UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Inisiatif berkenaan memperlihatkan komitmen UMNO untuk terus menyesuaikan gerak kerja penerangan parti dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam era kecerdasan buatan yang semakin memainkan peranan penting dalam penyampaian dan pengurusan maklumat.

Melalui AIRA, maklumat dapat diurus dan disusun secara lebih sistematik, sekali gus membantu memperkukuh proses penyampaian penerangan kepada anggota parti serta masyarakat secara lebih pantas dan berkesan.

Teknologi berkenaan turut memberi penekanan kepada keupayaan membaca sentimen dan menyusun pengetahuan, sekali gus berpotensi menjadi salah satu instrumen sokongan kepada gerak kerja penerangan UMNO di semua peringkat.

Pelancaran tersebut turut disaksikan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said; Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di samping kepimpinan penerangan UNO empat peringkat.

AIRA menjadi antara usaha terbaharu UMNO dalam memperkasakan ekosistem penerangan parti menerusi pendekatan berteraskan teknologi, di samping memastikan maklumat dapat disampaikan secara lebih tersusun, pantas dan bersesuaian dengan keperluan semasa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO