Agresif Kuasai Algoritma Media Sosial, Bina Dominasi – Azalina
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan penglibatan seluruh ahli penting bagi memperkukuh penyampaian maklumat, khususnya dalam mendepani landskap media sosial hari ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata ini kerana kekuatan media sosial banyak dipengaruhi oleh algoritma, menuntut penglibatan lebih ramai ahli.
“UMNO tidak boleh bergantung pada seorang dua yang pandai bercakap atau mempunyai ramai pengikut di media sosial.
“Kita menghargai kelebihan mereka tetapi dunia digital pada hari ini dipacu oleh algoritma. Semakin ramai yang like, share dan komen tentang sesuatu berita atau isu tersebut, semakin jauh sebarannya.

“Dan kita memerlukan semua ahli UMNO menjalankan tugas tersebut, tidak kira sayap mana pun, tidak kira apa jawatan sekalipun termasuk ahli-ahli biasa,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika Majlis Penerangan UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menerusi Majlis Pengiktirafan Penerangan dan Media yang bertemakan “Mengangkat Naratif, Menghargai Perjuangan”.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan Penerangan negeri dan bahagian.
Mengulas lanjut, Azalina turut menyentuh kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya kemenangan yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan, namun ia tidak seharusnya menyebabkan parti mengabaikan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam aspek penerangan dan media.
“… yang sebenarnya berlaku semasa kedua-dua pilihan raya negeri tersebut adalah apabila kita semua bekerja sebagai satu pasukan.
“Kita menang pilihan raya. Itu tidak bermakna semua kelemahan kita sudah tiada, ada bahan yang mutunya perlu diperbaiki dan ada penjelasan yang kurang mendapat sambutan.
“Ini perkara yang mesti kita akui. Kalau selepas menang pun kita tidak boleh bercakap tentang kelemahan sendiri, bila lagi kita hendak membetulkannya,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI), AIRA (Artificial Intelligence Rakyat Assistance), yang dilancarkan sebentar tadi sebagai platform rujukan pantas berkaitan isu semasa dan naratif parti.
Selain itu katanya, AIRA dibangunkan bagi membantu ahli mendapatkan maklumat terkini, termasuk isu semasa serta cadangan naratif yang boleh diketengahkan kepada masyarakat.
“Kalau sebelum ini mungkin tidak sempat hendak buka whatsapp dan scroll kembali mesej-mesej lama, sekarang boleh sahaja buka AIRA dan
terus bertanyakan tentang isu semasa,” ujar beliau. – UMNO Online
