Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 Himpun Tokoh Pendidikan, Bahas Tiga Agenda Utama

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 yang berlangsung hari ini menghimpunkan tokoh akademik, pendidikan dan generasi muda bagi membincangkan pelbagai cabaran serta hala tuju pendidikan anak bangsa.

Konvensyen bertemakan “Agenda Pendidikan Melayu” itu menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang menyampaikan ucapan hala tuju konvensyen sebelum diteruskan dengan tiga sesi utama.

Sesi pertama, Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B-40 dan M-40, dipengerusikan Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Muhammad, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).

Sesi itu menampilkan pembentang Profesor Datin Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani, Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya; Dr. Muhammad Abdul Khalid, Felo Penyelidik, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); serta Dr. Anuar Ahmad, Timbalan Pengarah MINDA-UKM.

Timbalan Pengarah MINDA-UKM.Dr. Anuar Ahmad, dalam sesi soal jawab berpandangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat memberi kesan besar kepada masyarakat khususnya golongan B40 yang memerlukan satu sistem penilaian dan penapisan pendidikan yang lebih jelas.

Menurutnya, bagi keluarga Bumiputera dalam kelompok berpendapatan tinggi, kewujudan atau pemansuhan peperiksaan bukan menjadi isu besar kerana ibu bapa tetap mempunyai aspirasi pendidikan yang tinggi terhadap anak-anak mereka.

“Tetapi untuk kumpulan keluarga B40, miskin tegar, bila tak ada exam mereka hilang satu arah yang jelas apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk pendidikan anak-anak mereka.” Tambahnya.

Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi isu ketidakhadiran murid ke sekolah serta kemerosotan prestasi yang majoritinya melibatkan anak-anak daripada keluarga B40.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang disifatkan sebagai baik, namun terdapat keperluan untuk memastikan murid yang mempunyai masalah asas literasi dikenal pasti lebih awal.

“Ramai anak-anak yang kita lihat sampai Form 4, Form 5 yang tak boleh baca sebab kita tiada satu sistem yang menapis mereka pada peringkat awal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik pengenalan semula ujian atau rubrik pembelajaran Tahun Empat yang dilihat sebagai satu bentuk intervensi awal bagi mengenal pasti tahap literasi murid.

“Pada saya, inilah satu intervensi yang baik kerana ia sangat membantu kumpulan anak-anak daripada keluarga B40 supaya kita kenal dan kita tahu bahawa mereka boleh atau tidak literasi membaca, menulis, mengira pada peringkat yang paling awal lagi.” Ujarnya.

Sesi kedua pula bertajuk Universiti Teknologi MARA (UiTM): Menerus Agenda Anak Bangsa dan dipengerusikan Datuk Seri Mahadzir Khalid, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Panel pembentang terdiri daripada Tan Sri Idris Jusoh, Pro-Canselor UiTM; Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Mohd Noor, ISTAC – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; serta Datuk Seri Dr. Hamzah Kassim, Pengerusi PRUDENTIAL.

Sementara itu, sesi ketiga, AUKU dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara, dipengerusikan Muhd Farzeen Ismadi Fauzi, Presiden GPMS Kebangsaan.

Pembentangnya ialah Datuk Dr. Khairul Anuar Che Azmi, Penasihat Undang-undang Universiti Sains Malaysia; Profesor Datuk Dr. Muhammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); Muhammad Alin’ Alirn Abu Bakar, Mantan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan; serta Profesor Emeritus Datuk Dr. Radhuan Che Ros, Presiden Majlis Profesor Negara. Majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO