Automasi Industri Perlu Dipercepat, Kurangkan Kebergantungan Pekerja Asing

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 terus menjadi medan membincangkan isu serta cabaran semasa negara apabila keperluan mempercepatkan automasi industri bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing menjadi antara perkara yang diberi perhatian.

Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri negara perlu mempercepatkan penerapan automasi dalam operasi dan pengeluaran, khususnya bagi pekerjaan yang bukan dalam kategori sukar, berbahaya dan kotor (3D).

Katanya, pendekatan itu perlu melibatkan semua peringkat selaras dengan keperluan negara.

“Kebergantungan kepada pekerja asing pada kadar seperti ketika ini tidak boleh diteruskan untuk tempoh jangka panjang, memandangkan pada masa hadapan pekerja asing dijangka lebih tertumpu kepada pekerjaan 3D.

“Pekerja asing seharusnya membantu sektor yang benar-benar memerlukan tenaga kerja bagi tugasan 3D manakala pekerjaan lain perlu dipertimbangkan untuk diautomasikan atau diisi tenaga kerja tempatan.

“Pada masa akan datang, pekerja asing tidak akan tersedia pada kadar seperti hari ini. Kalau ada pun, mereka akan datang untuk bekerja dalam sektor pekerjaan 3D iaitu ‘difficult, dangerous and dirty’.

“Kita mahu semua syarikat, tidak kira besar, sederhana, kecil ataupun mikro memberikan penekanan kepada betapa pentingnya membawa automasi ke dalam operasi dan pengeluaran dengan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berucap di ‘Program Voice of HER: Wanita, AI dan Ekonomi Digital’ anjuran Wanita UMNO Malaysia bersempena PAU 2026 sebentar tadi.

Johari berkata, pendekatan tersebut juga penting untuk memastikan peluang pekerjaan dan struktur gaji pekerja tempatan tidak terjejas.

“Kehidupan pekerja tempatan berbeza kerana mereka mempunyai keluarga, komitmen pendidikan dan keperluan kehidupan yang perlu diambil kira.

“Kalau kita terus fleksibel dengan sesetengah jenis industri, kita akan berdepan dengan banyak masalah. Sebab itu kita mahu mempromosikan ekonomi digital, platform digital, automasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu keengganan rakyat tempatan menerima pekerjaan perlu dilihat dari sudut nilai ekonomi yang ditawarkan.

“Jika gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan kelayakan, tanggungjawab dan kos kehidupan… tidak hairan sekiranya rakyat memilih pekerjaan lain yang memberikan pulangan lebih baik.

“Kalau setakat menawarkan gaji minimum RM1,700, mungkin pekerja tempatan tidak boleh ambil kerana mereka tidak nampak nilai ekonomi untuk menerima pekerjaan tersebut.

“Ada rakyat Malaysia yang sanggup berulang-alik ke Singapura untuk bekerja meskipun terpaksa menempuh perjalanan lebih satu jam kerana pekerjaan tersebut menawarkan nilai ekonomi yang dianggap berbaloi.

“Dalam masa sama, sebahagian rakyat juga cenderung memilih pekerjaan seperti pemandu e-hailing. Itu juga perlu difahami berdasarkan fleksibiliti dan pulangan ekonomi yang diperoleh,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa mana-mana industri yang memohon untuk mendapatkan pekerja asing perlu terlebih dahulu menjelaskan jenis pekerjaan yang benar-benar berada dalam kategori 3D.

“Mana-mana industri yang datang berjumpa saya dan meminta pekerja asing, saya akan tanya, ‘Apa pekerjaan 3D kamu? Jelaskan pekerjaan 3D itu.’

“Untuk pekerjaan yang bukan 3D, saya akan tanya berapa gajinya, apakah peringkat kemasukan dan apa kelayakan yang diperlukan. Selepas itu barulah kita pertimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengurangan pekerja asing juga perlu dilakukan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada industri melakukan penyesuaian melalui automasi.

“Sekiranya sesebuah syarikat mempunyai 1,000 pekerja tetapi hanya 20 peratus daripadanya terlibat dalam pekerjaan 3D, jumlah pekerja asing perlu dikurangkan secara berperingkat kepada jumlah yang benar-benar diperlukan bagi pekerjaan tersebut.

“Bukan secara serta-merta, tetapi kita perlu mengurangkannya dari semasa ke semasa. Jangan terlalu mudah meluluskan pekerja asing,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO