100 Hari Tempoh Perkukuh Penyatuan, Pemikiran Dan Perbezaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Majlis Ulama UMNO Malaysia menyediakan satu ‘blueprint’ cadangan tindakan yang praktikal dan berorientasikan hasil dalam tempoh 100 hari bagi memperkukuh penyatuan pemikiran serta menangani perbezaan politik dalam kalangan umat Islam.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ‘blueprint’ itu juga perlu menggariskan agenda utama ummah untuk dibentangkan dalam Majlis Perundingan Ummah, sekali gus menjadi asas kepada tindakan yang lebih tersusun dan berkesan.
“Saya mahu Majlis Ulama dalam tempoh 100 hari menyediakan satu ‘blueprint’ cadangan tindakan yang praktikal dan berorientasikan hasil mengenai penyatuan pemikiran, perbezaan politik dan agenda utama ummah, untuk dibentangkan dalam Majlis Perundingan Ummah.
“Mudah-mudahan daripada Multaqa ini lahir lebih ramai ilmuwan yang bukan sekadar menjadi suara umat, tetapi menjadi kekuatan yang membina umat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia Datuk Dusuki Ahmad, Timbalan Pengerusi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rozabil Abdul Rahman; Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad; Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil; pimpinan parti Pas serta peserta-peserta.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjelaskan perbezaan organisasi, pendekatan mahupun politik tidak seharusnya menjadi punca hubungan sesama umat terputus, apatah lagi apabila perkara kecil mengatasi kepentingan dan maslahat yang lebih besar.
“Kesatuan umat bukan bermaksud semua mesti sependapat. Kita boleh berbeza organisasi, pendekatan malah pendirian politik. Tetapi jangan sampai perbezaan memutuskan persaudaraan dan perkara kecil mengatasi maslahat yang lebih besar.
“Dalam urusan siasah pun begitu juga. Agama tidak boleh diperalatkan untuk melabel, memfitnah atau menanam kebencian sesama umat. Di sinilah perlunya ‘Islah Siyasi’ yang menjadikan agama sebagai pedoman untuk membawa amanah, keadilan, ihsan dan akhlak ke dalam politik.
“Agama tidak seharusnya menjadi minyak yang membakar persengketaan politik. Agama mesti menjadi air yang menyejukkan nafsu kekuasaan. Kerana apabila politik kehilangan akhlak, yang rosak bukan sahaja hubungan antara parti, tetapi hubungan sesama umat,” jelasnya.
Seterusnya kata Ahli Parlimen Bagan Datuk lagi, ilmuwan tidak seharusnya menambah keresahan, sebaliknya perlu tampil meredakan keadaan dengan ilmu, fakta dan panduan yang tepat.
“Ilmuwan mesti menjadi jambatan antara nas dengan realiti, pemerintah dengan umat dan perbezaan dengan persefahaman. Kita mungkin tidak sepakat dalam segala perkara, tetapi dalam soal akidah, pendidikan, keluarga, ekonomi, teknologi dan kekuatan institusi Islam, kita mesti tahu bila untuk berdiri bersama. Kita boleh berbeza jalan, tetapi jangan sampai kehilangan arah dan tujuan.
“Di sinilah, tatkala institusi umat sedang diasak dan keyakinan masyarakat cuba digugat, para ilmuwan mesti berani memainkan peranan – bukan menambah api, tetapi meredakan keresahan; bukan mempertahankan secara membuta tuli, tetapi menjelaskan dengan ilmu dan fakta,” ujarnya.
Ujarnya lagi, apabila pemerintah benar, maka berikan dukungan dan apabila tersilap berikan teguran agar masyarakat tidak terkeliru, dan apabila umat bersengketa maka berikanlah penyelesaian. – UMNO Online
