Persiapan Giat Dilaksana, Bakal Sambut Perwakilan PAU 2026
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Persiapan bagi menyambut kehadiran para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 kini giat dilaksanakan menjelang berlangsungnya perhimpunan terbesar parti yang akan bermula pada Rabu ini.
Tinjauan UMNO Online mendapati warga kerja yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung masih giat menyempurnakan persiapan, termasuk melaksanakan beberapa penambahbaikan di peringkat akhir bagi memastikan keseluruhan perjalanan PAU 2026 berlangsung dengan lancar.

Antara persiapan yang sedang dilaksanakan oleh petugas Ibu Pejabat UMNO termasuk menyusun bahan-bahan untuk dimasukkan ke dalam beg perwakilan sebelum diedarkan pada hari pendaftaran PAU nanti.
Dalam masa sama, kakitangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) turut giat melakukan gerak kerja dan persiapan bagi memastikan kelancaran program tahunan UMNO berkenaan.

Untuk rekod, seramai 6,401 perwakilan dijadualkan hadir bagi mewarnai perhimpunan besar parti keramat Melayu ini yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September.
Daripada jumlah keseluruhan perwakilan, seramai 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).
Persiapan PAU 2026 turut disusun dengan pelbagai pengisian, termasuk program pra-PAU yang akan berlangsung pada 8 September.
Antara program pra-PAU yang dijadualkan pada 8 September ialah Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 anjuran Majlis Ulama UMNO dan Kongres Pendidikan Melayu 2.0 anjuran Biro Pendidikan.
Tirai PAU 2026 akan dimulakan dengan Perasmian Sayap pada 9 September oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum diteruskan dengan persidangan sayap pada 10 September.
Pada 11 dan 12 September pula, PAU akan diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, Ucapan Dasar Presiden UMNO oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbahasan usul dan ucapan penggulungan.
Dalam pada itu, PAU 2026 turut melibatkan perwakilan siswa dalam negara serta perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN).
Kemeriahan PAU 2026 turut bakal diserikan dengan kehadiran gerai korporat dan gerai jualan yang akan ditempatkan di Legar Putra, Aras 2, WTC. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
