PAU 2026 Jadi Tumpuan, Dijangka Lebih 50,000 Pengunjung
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan menjangkakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 akan berlangsung lebih meriah dengan anggaran melebihi 50,000 pengunjung ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata perkembangan itu didorong oleh sambutan rakyat selepas momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan yang lalu.

“Alhamdulillah saya jangkakan PAU 2026 pada tahun ini dijangkakan lebih meriah dan dianggarkan lebih daripada 50,000 orang yang akan datang.
“Ini juga disebabkan oleh situasi terkini, UMNO yang saya rasa ramai hendak melihat kebangkitan UMNO dengan momentum kemenangan selepas PRN Johor dan juga PRN Negeri Sembilan,” katanya.
Sumali berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan acara raptai PAU 2026 yang diadakan di Plaza Merdeka, WTC.
Mengulas berkenaan penganjuran, beliau turut memaklumkan PAU seperti kelaziman akan dimeriahkan dengan gerai jualan yang disediakan sepanjang berlangsungnya perhimpunan.
“Untuk makluman, gerai jualan dan korporat akan bermula esok, 8 September, dari jam 10 pagi hingga 10 malam sehingga berakhirnya PAU pada 12 September.
“Respon daripada pengusaha gerai jualan juga amat menggalakkan. Memang tak cukup kerana kita hanya menyediakan lebih kurang 112 ruang gerai jualan berdasarkan kapasiti yang ada untuk menempatkan booth-booth berkenaan,” ujar beliau.

PAU 2026 akan berlangsung pada empat hari bermula 9 sehingga 12 September, yang akan dimulakan dengan taklimat Presiden UMNO, diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.
Manakala acara kemuncak melibatkan perwakilan dari seluruh negara itu akan berlangsung selama dua hari, bermula Jumaat dan Sabtu ini. – UMNO Online
