Wanita UMNO Siap Sedia Warnai PAU 2026 Dengan Pelbagai Agenda

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Wanita UMNO tampil dengan pelbagai pengisian strategik dan program berimpak tinggi menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, termasuk memberi tumpuan terhadap penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), aspek keselamatan serta penghargaan kepada jentera akar umbi.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, persiapan bagi menghadapi PAU 2026 telah dilakukan lebih awal bagi memastikan perhimpunan kali ini bukan sekadar medan persidangan, sebaliknya turut menjadi platform memperkukuh peranan serta kesiapsiagaan wanita dalam mendepani cabaran semasa.

Jelasnya, antara program utama yang bakal diketengahkan ialah ‘Voice of HER’ siri ketiga yang membawa tajuk ‘Wanita dengan AI dan Teknologi’ berserta program-program lain.

“Alhamdulillah, setakat ini Wanita UMNO telah menyediakan beberapa program menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sepanjang perhimpunan ini.

“Wanita UMNO akan mengadakan ‘Voice of HER” bagi siri ketiga dengan tajuk “Wanita dengan AI dan Teknologi” dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan merasmikan program tersebut. Satu latihan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), untuk latihan keselamatan dan sebagainya.

“Bagi menghargai Wanita UMNO telah mengadakan anugerah Hati Skuad Sayang, juga di samping memberi anugerah, penghargaan kepada skuad sayang di setiap negeri. Pada masa sama turut mengadakan pameran laman wanita kreatif di Aras 2, yang mana setiap negeri akan menunjukkan bahan-bahan ataupun pameran daripada negeri-negeri masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.

katanya, terdapat 20 reruai pada program tersebut dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain tidak ketinggalan juga pameran kesihatan dan pemeriksaan percuma di Dewan Tun Ismail.

Mengulas lanjut kata Rosni yang juga Senator Dewan Negara, jurucakap Wanita UMNO kali ini telah membuat persediaan lebih awal bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan benar-benar membawa suara akar umbi dan kepentingan wanita.

“Pada 10 September, Wanita UMNO akan bersidang dan jurucakap kali ini sudah bersedia lebih awal untuk membahaskan pelbagai isu terkini, khususnya yang berkait dengan kepentingan wanita serta masa depan dan hala tuju parti,” katanya lagi.

Tambah beliau, pengalaman Wanita UMNO dalam menghadapi pelbagai persidangan dan program parti selama ini menjadikan jentera wanita lebih bersedia, matang serta berani menyuarakan perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Wanita UMNO sudah bersedia awal. Kita sudah biasa dengan program seperti ini dan tahu tanggungjawab yang perlu dimainkan.

“Justeru, saya ingin menjemput mana-mana wanita di luar sana untuk hadir beramai-ramai ke Perhimpunan Agung UMNO 2026 di PWTC. Datang dan lihat sendiri bagaimana Wanita UMNO membawa suara wanita serta membincangkan masa depan parti,” ujarnya.

Untuk rekod, PAU 2026 akan berlangsung selama empat hari, bermula 9 hingga 12 September depan dan dijangka menjadi platform penting dalam menentukan hala tuju dan strategi parti bagi tempoh akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO