UMNO Perlu Terus Bangkit, Usaha Baiki Amanah Rakyat – Manndzri
KUALA LUMPUR, 4 Sept – UMNO perlu terus bangkit memperkukuh perjuangan, memperkasa usaha membantu rakyat serta memastikan amanah yang diberikan tidak pernah dikhianati, kata Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.
Beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO bukan sekadar medan menghimpunkan ahli dan perwakilan, sebaliknya menjadi ruang untuk parti bermuhasabah, menyusun kekuatan dan memperbaharui tekad bagi menghadapi cabaran politik serta tuntutan rakyat yang semakin mencabar.
Menurutnya, semangat B.U.B.A.R – Bangkit, Usaha, Baiki, Amanah, Rakyat perlu diterjemahkan sebagai kekuatan baharu UMNO untuk kembali dekat dengan denyut nadi masyarakat.

“Kita mesti bangkit. Kita mesti terus berusaha. Apa yang kurang, kita baiki. Amanah rakyat mesti kita jaga dan akhirnya segala perjuangan kita mesti kembali kepada rakyat,” katanya.
Manndzri berkata, UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan sejarah dan pengalaman lalu, sebaliknya perlu berani melakukan pembaharuan agar parti kekal relevan dengan generasi baharu.
Katanya, kekuatan UMNO terletak pada keupayaan ahlinya untuk bekerja bersama, mendengar suara akar umbi dan membuktikan bahawa perjuangan parti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Rakyat tidak mahu kita hanya bercakap. Rakyat mahu melihat hasil. Mereka mahu kehidupan yang lebih baik, peluang ekonomi yang lebih luas, pekerjaan, pendidikan, kemudahan asas dan masa depan yang lebih terjamin.
“Hakikat dinamika politik baharu mesti dihazam dan diterjemah kepada impak kebangkitan dengan membawa bersama semangat penyatuan Melayu dan Islam yang menjadi madhuk utama dalam aspirasi Rumah Bangsa dan roh Musyawarah Nasional,” katanya.
Beliau turut berharap Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi titik tolak kepada penyatuan seluruh anggota parti, daripada kepimpinan tertinggi hinggalah ke akar umbi.
“Kita mungkin berbeza pandangan, tetapi jangan sampai kita berbeza arah. Arah kita mesti sama – memperkuatkan UMNO, menjaga Barisan Nasional dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Menurutnya, UMNO perlu membina keyakinan rakyat melalui kerja yang konsisten, bukan sekadar ketika pilihan raya.
Beliau berharap seluruh anggota parti kembali ke kawasan masing-masing selepas perhimpunan dengan semangat baharu untuk turun padang, mendengar masalah rakyat dan menyelesaikan isu yang mampu diselesaikan.
“Harapan saya, selepas perhimpunan ini kita bukan sahaja pulang dengan semangat, tetapi pulang dengan tanggungjawab. Kita turun kepada rakyat, kita bekerja dan kita buktikan bahawa UMNO masih mempunyai tempat yang penting dalam membina masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
