PAU 2026: Titik Perubahan Demi Masa Depan – Nurul Amirah

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu menjadi titik perubahan kepada cara parti melihat kedudukan dan masa depan, termasuk keberanian untuk keluar daripada politik bertahan kepada mampu menentukan arah percaturan negara.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof berkata, UMNO bukan saja sekadar parti tetapi mampu menentukan arah masa depan sendiri.

“PAU 2026 perlu menjadi titik perubahan dan bagaimana cara UMNO melihat dirinya sendiri. Kita tidak boleh selamanya berada dalam posisi mempertahankan diri sebaliknya harus keberanian dalam menentukan percaturan negara.

“Politik hari ini sudah berubah, pengundi tidak lagi terikat sepenuhnya dengan parti seperti dahulu. Mereka boleh berubah dalam satu pilihan raya, sebab itu UMNO tidak boleh bergantung kepada nostalgia, sejarah atau kekuatan struktur semata-mata.

“UMNO perlu kembali menjadi parti yang diperlukan bukan parti yang hanya dicari apabila angka kerusi diperlukan. Kita tidak boleh membina masa depan berdasarkan matematik kerusi, ia mesti membina semula politik berdasarkan matematik kepercayaan rakyat dan percaya suara anak muda mesti berada di tengah-tengah perbincangan itu,” katanya.

Mengulas lanjut Nurul Amirah juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah menjelaskan, perubahan yang diperlukan bukannya perlu meninggalkan identiti tetapi harus memperkukuhkan parti agar terus kekal dalam landskap politik.

“Kita mahu UMNO yang berani memperbaharui pendekatan tanpa meninggalkan prinsip. Berani bekerjasama tanpa kehilangan identiti dan berani berubah tanpa kehilangan akar.

“Puteri UMNO bukan mahu dilihat hanya ada apabila pilihan raya semakin hampir. Puteri mahu menjadi sebahagian daripada proses menentukan rupa UMNO yang akan dikenali oleh generasi akan datang,” katanya lagi.

Seterusnya kata Nurul Amirah, inilah masa UMNO menentukan sama ada terus menjadi sebahagian daripada percaturan politik atau mahu kembali menjadi parti yang mencorakkan percaturan itu.

“Kami tidak takut kepada perubahan, cuma tidak mahu UMNO berubah sehingga hilang sebab mengapa rakyat memilihnya.

“PAU 2026 mesti menjadi titik di mana UMNO bukan sekadar bertanya. Bagaimana mahu menang? Tetapi berani bertanya apa yang rakyat mahukan kemenangan apabila mereka memilihnya,” jelasnya.

Ujarnya, kerana akhirnya… politik bukan semata tentang berapa banyak kerusi yang dimiliki. Politik adalah tentang berapa banyak kepercayaan rakyat yang mampu dipertahankan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO