PAU 2026: Puteri UMNO Semarak Jubli Perak 25 Tahun – Nik Zakirah

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia tampil penuh semangat dan keterujaan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, yang tahun ini hadir dengan lebih istimewa apabila turut menjadi detik bersejarah dalam meraikan Jubli Perak 25 tahun penubuhannya.

Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahim berkata, program Puteri UMNO akan bermula pada 9 September, menerusi perasmian persidangan sayap sebelum kemuncaknya diteruskan dengan Persidangan Agung Puteri UMNO 2026 pada 10 September.

Jelasnya, persidangan berkenaan akan berlangsung sepanjang hari bermula jam 8 pagi sehingga selesai sesi ucapan penggulungan, ia menjadi medan penting untuk Puteri UMNO menyuarakan pandangan serta membawa agenda generasi wanita muda dalam parti.

“Puteri UMNO akan memulakan sambutan PAU 2026 pada 9 September. Kita bermula dengan perasmian sayap dan selepas itu diikuti dengan Persidangan Agung Puteri UMNO 2026 pada 10 September nanti.

“Sepanjang hari, daripada jam 8 pagi sampailah selesai ucapan penggulungan, kita akan bersama-sama menjayakan persidangan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Nik Zakirah menambah, PAU kali ini mempunyai nilai yang cukup besar buat Puteri UMNO kerana ia berlangsung serentak dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun, yang menjadi bukti perjalanan panjang sayap parti itu dalam memperjuangkan suara dan kepentingan wanita muda.

“Untuk tahun ini, puteri sebenarnya tak sabar, sangat ‘excited’ sebab tahun ini juga adalah tahun sambutan Jubli Perak ke-25 tahun, ulang tahun Puteri UMNO.

“Jadi, semasa hari persidangan nanti kita akan mengadakan bermacam-macam program dan akan diselitkan di antara perbahasan negeri-negeri. Kita akan imarahkan sambutan itu sepanjang hari,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi memahami bahawa kapasiti dewan amat terhad dan menyebabkan tidak semua permohonan pemerhati dapat dipenuhi.

“Saya tahu terlalu ramai ‘request’ sebagai pemerhati PAU 2026, tetapi apakan daya, dewan tak begitu besar. Tapi jangan risau, semua boleh datang. Kepada semua perwakilan dan juga kepada semua pemerhati Puteri UMNO yang akan hadir ke PAU 2026, kita jumpa nanti,” ujarnya.

Kata beliau lagi, bagi mereka yang tidak berpeluang berada di dalam dewan tidak perlu kecewa kerana pelbagai program sampingan turut disediakan sepanjang PAU 2026.

“Jangan risau, anda semua masih boleh datang. Banyak lagi program-program sampingan yang diadakan semasa PAU 2026 ini, contohnya karnival jualan dan sebagainya.

“Kita juga ada sediakan ruangan iaitu yang bukan perwakilan atau pemerhati boleh lihat secara langsung,” jelasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO