PAU 2026  Medan Muhasabah, Perkukuh Hala Tuju Parti

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu dimanfaatkan sebagai medan terbaik untuk seluruh kepimpinan dan ahli melakukan muhasabah serta introspeksi dalaman bagi memastikan proses transformasi parti terus dilaksanakan seperti yang diharapkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara tersebut penting bagi menilai sejauh mana usaha dan keputusan yang telah dipersetujui dalam PAU sebelum ini benar-benar diterjemahkan dalam gerak kerja parti.

Menurut beliau, PAU bukan sekadar menjadi medan perbahasan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk melihat kembali kekuatan dan kelemahan parti, termasuk sejauh mana usaha memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli telah berjaya dilaksanakan.

“Kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO ini adalah medan yang terbaik, pertama untuk kita muhasabah, melakukan introspeksi dalaman parti. Apakah kita benar-benar melakukan proses transformasi parti yang diharapkan oleh kepimpinan ataupun Perhimpunan Agung UMNO yang lepas,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini, hari ini.

Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan; Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Setiausaha Kerja Pemuda, Muhammad A’zlan Abu Bakar dan Setiausaha Puteri, Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahim.

Asyraf seterusnya menambah antara perkara yang pernah ditekankan dalam PAU sebelum ini ialah sikap berlapang dada serta keterbukaan untuk menerima kembali ahli-ahli yang bersedia untuk kembali bersama UMNO.

Katanya, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk menguatkan semula parti dengan mengetepikan perbezaan serta memaafkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesepaduan.

“Kita membicarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lepas soal berlapang dada, kita harus menerima kembali ahli-ahli yang bersedia untuk kembali ke Rumah Bangsa.

“Tema waktu itu lebih kepada kita nak menguatkan balik parti ini, mengetepikan soal perbezaan-perbezaan yang ada, memaafkan apa juga yang boleh meleraikan soal kesepaduan yang ada,” katanya.

Beliau juga menegaskan, kesatuan merupakan asas penting kepada kekuatan UMNO kerana parti hanya mampu terus dihormati dan diyakini rakyat sekiranya seluruh anggotanya bersatu serta terus memberikan khidmat terbaik.

“Kerana UMNO ini kekuatannya adalah kesatuan. Kalau UMNO itu bersatu dan bersetia dan terus berkhidmat kepada rakyat, seperti mana yang orang kata UMNO, UMNO akan dilihat dan dipandang dengan lebih dihormat dan bermaruah

“Yang kedua sudah tentu dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini penting untuk menentukan apa hala tuju kita dengan senario politik yang ada di sekeliling parti ini.

“Saya kira kepimpinan tertinggi, Presiden dan juga Majlis Kerja Tertinggi sudah tentu kita mahu mendengar sendiri cerita dan suara hati ahli-ahli kita, kepimpinan kita daripada akar umbi berkenaan dengan soal masa depan UMNO ini,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO