Multaqa Ilmuwan Islam, Konvensyen Pendidikan Melayu Buka Tirai PAU 2026
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bakal membuka tirai rangkaian program sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, dengan kedua-duanya memberi tumpuan kepada pengukuhan agenda umat Islam serta pendidikan Melayu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kedua-dua program yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu menghimpunkan tokoh agama, ilmuwan, akademia dan kepimpinan parti bagi membincangkan isu-isu strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan masa depan umat serta agenda pendidikan anak bangsa.
Menurut beliau Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail mengetengahkan tema berkaitan “Islah Siyasi Malaysia”, menampilkan barisan tokoh agama untuk membincangkan isu “Kepentingan Memahami Fiqh Aulawiyat” serta “Mengurus Ikhtilaf Ke Arah Penyatuan Ummah”.
“Antara yang tampil ialah Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Pengasas Pondok Rumi Sufi Jawi, Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli serta Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn membawa tema “Agenda Pendidikan Melayu” anjuran Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO Malaysia itu turut menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir yang menyampaikan ucapan halatuju konvensyen.
“Antara sesi utama yang diketengahkan ialah “Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B-40 dan M-40”, “Universiti Teknologi MARA (UiTM): Menerus Agenda Anak Bangsa” serta “AUKU dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara”;
“Program berkenaan menjadi pembuka kepada agenda PAU 2026 dan majlis perasmian penutup kedua-dua program tersebut akan disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Orang ramai boleh menyertai program ini dan ianya terbuka kepada seluruh masyarakat dan kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi mendengar dan melihat dengan lebih dekat kedua-dua program tersebut,” ujarnya. – UMNO Online
Berikut jadual kedua-dua program berkenaan.


