Inisiatif Presiden UMNO Penuhi Keperluan Parti Dan Rakyat – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang dikira bertepatan untuk memenuhi keperluan semasa parti dan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, inisiatif-inisiatif tersebut amat berkesan dan meliputi bidang utama yang diperlukan rakyat terutamanya.

“Sebenarnya kewujudan inisiatif Rumah Bangsa amat berkesan, dihormati dan disanjung tinggi. Ada beberapa lagi inisiatif Presiden yang perlu disebut, antaranya Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Beliau diberikan mandat utama dalam Kongres Ekonomi Bumiputera dan kita telah melaksanakan kongres tersebut bersama kerajaan. Seterusnya, Kongres Pendidikan Bumiputera. Kalau tadi ekonomi yang kedua pendidikan… dan ia telah pun kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara ‘Hitam Putih Kelabu’ yang ditayangkan secara langsung di platform media sosial UMNO Online, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, Musyawarah Nasional juga merupakan salah satu inisiatif Presiden UMNO untuk membincangkan isu-isu terkini negara.
“Satu lagi perkara penting yang telah dibuat oleh Presiden ialah Musyawarah Nasional. Saya hadir Musyawarah Nasional yang pertama dan mengikuti secara langsung siri yang kedua.
“Musyawarah Nasional ini melibatkan pelbagai parti dan kita membincangkan topik-topik tertentu. Terkini, tentunya berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. Ini menunjukkan bahawa UMNO sentiasa mengikuti dan membincangkan isu-isu semasa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya mewujudkan semula penganugerahan Tokoh UMNO kepada ahli-ahli yang berjaya memperoleh pencapaian dalam pelbagai bidang.

“Saya ingin membuat satu saranan. Kalau tidak dapat dibuat dalam PAU pada kali ini, mungkin boleh dibuat pada masa akan datang, iaitu mengenai Tokoh UMNO, sama ada Tokoh UMNO Negeri atau Tokoh UMNO Nasional.
“Saya ingin mencadangkan supaya Tokoh UMNO ini dihidupkan kembali. Sebelum ini kita sudah ada, termasuk pada zaman Datuk Seri Najib Razak. Tokoh UMNO ini penting.
”Ini satu saranan supaya rakyat dapat melihat bahawa UMNO setiap tahun, melalui pelbagai peringkat, kita mengiktiraf kejayaan individu luar biasa dalam UMNO yang berperanan membantu pembangunan negara dalam pelbagai bidang,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
