6,401 Perwakilan Dijangka Hadir PAU 2026

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 akan berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 September ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dengan seramai 6,401 perwakilan dijangka menghadirinya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persiapan bagi PAU 2026 disusun dengan pelbagai pengisian termasuk program pra-PAU yang akan berlangsung pada 8 September.

Menurut beliau, program pra-PAU antaranya melibatkan Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 anjuran Majlis Ulama UMNO serta Kongres Pendidikan Melayu 2.0 oleh Biro Pendidikan.

“Pada 9 September, PAU akan dimulakan dengan Majlis Apresiasi Penerangan, diikuti Taklimat Presiden secara tertutup sebelum Perasmian Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

“Persidangan penuh sayap-sayap pula akan berlangsung pada 10 September, diikuti Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas pada sebelah malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, Setiausaha  Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar, Setiausaha Kerja Pemuda,  Muhammad A’zlan Abu Bakar dan   Setiausaha Puteri, Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahim.

Asyraf seterusnya berkata, pada 11 dan 12 September, PAU akan diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbahasan usul serta ucapan penggulungan.

Daripada jumlah keseluruhan perwakilan, seramai 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).

Dalam pada itu, PAU 2026 turut melibatkan perwakilan siswa dalam negara serta perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN).

Bagi memastikan perjalanan PAU mendapat liputan menyeluruh, Laman Media di Bilik Mawar, Aras 2 WTC turut disediakan untuk pengamal media daripada dalam dan luar negara.

Selain itu, gerai jualan membabitkan usahawan turut disediakan selain laman korporat akan beroperasi bermula 8 September selain pelbagai program lain.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO