Ketua Menteri Santuni Rakyat, Telok Mas Terus Jadi Tumpuan Jelajah – Abdul Razak
MELAKA, 3 Ogos – Pendekatan kepimpinan yang sentiasa mendahulukan rakyat terus dizahirkan menerusi program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turun padang bertemu penduduk di DUN Telok Mas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kehadiran Ketua Menteri ke kawasan tersebut pada Ahad sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mendekati rakyat secara langsung, mendengar sendiri suara mereka serta melihat perkembangan semasa di peringkat akar umbi.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka itu, selepas pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat menjadi satu lagi platform yang memperlihatkan kesungguhan kepimpinan negeri menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Di tempat lain mungkin rakyat yang mencari pemimpin, namun di Melaka Ketua Menteri sendiri turun ke setiap pelusuk negeri bagi mencari ruang untuk bertemu rakyat. Inilah pendekatan kepimpinan yang sentiasa ditekankan beliau, iaitu sebelum menjadi wakil rakyat, kita perlu menjadi rakyat terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ab Rauf atas kesudian meluangkan masa bersama penduduk Telok Mas, termasuk meninjau kawasan Jeti Pengkalan Nelayan Tanjung Nibong yang telah dinaik taraf.

Dalam masa sama, Abdul Razak turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh Keluarga Besar DUN Telok Mas yang hadir beramai-ramai serta memberikan sambutan meriah sepanjang program berlangsung.
Katanya, semangat kebersamaan antara kepimpinan negeri dan rakyat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan Melaka dapat diteruskan demi manfaat seluruh masyarakat.- UMNO Online
