RUU Pindaan Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak Daripada Jenayah Seksual Rentas Sempadan
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Negara bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada ancaman jenayah seksual yang semakin kompleks dan merentas sempadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut dibuat selaras dengan perubahan landskap jenayah seksual yang kini banyak memanfaatkan teknologi komunikasi, media sosial dan platform digital untuk mengeksploitasi kanak-kanak.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO menjelaskan, data semasa menunjukkan ancaman terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan apabila laporan Disrupting Harm Malaysia menganggarkan lebih 100,000 kanak-kanak pengguna internet berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini pernah mengalami eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian. Selain itu, sebanyak 16,238 laporan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) direkodkan pada 2024, meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Azalina, pindaan kepada Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 akan memperluaskan bidang kuasa luar wilayah (extra-territorial jurisdiction), sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku yang berada di luar negara, termasuk pemastautin tetap dan individu yang lazim bermastautin di Malaysia. Perlindungan turut diperluaskan kepada kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.
“Pindaan ini menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. ‘If you touch our children, you go.’ Tiada toleransi dan tiada kompromi terhadap mereka yang merosakkan masa depan anak-anak kita,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan, hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan serta rakan antarabangsa bagi memastikan pelaksanaan undang-undang lebih berkesan dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, khususnya yang melibatkan elemen rentas sempadan.
Azalina juga menyeru semua Ahli Dewan Negara memberikan sokongan terhadap RUU tersebut demi memastikan kanak-kanak di negara ini terus dilindungi melalui undang-undang yang tegas, moden dan berkesan. – UMNO Online
