RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 Perkukuh Perlindungan Mangsa

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada ancaman jenayah seksual yang semakin membimbangkan.

Ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menegaskan bahawa pindaan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem perundangan negara sentiasa relevan dan mampu menangani cabaran semasa.

Menurut beliau, kanak-kanak merupakan aset paling bernilai negara dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada eksploitasi serta penderaan seksual.

Beliau berkata, pindaan berkenaan bukan sekadar memperkemaskan aspek teknikal undang-undang, malah memperkukuh mekanisme perlindungan kepada mangsa serta meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.

“Undang-undang yang baik perlu seiring dengan keupayaan institusi untuk bertindak secara berkesan, memberi perlindungan kepada mangsa dan memastikan pelaku dipertanggungjawabkan mengikut lunas keadilan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.

Beliau turut menggesa agar pendidikan mengenai keselamatan diri, penggunaan teknologi secara berhemah serta kesedaran dalam kalangan ibu bapa terus diperkukuhkan bagi mengurangkan risiko jenayah terhadap kanak-kanak.

Katanya lagi, perkembangan teknologi dan media sosial turut membawa cabaran baharu yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan perlindungan terhadap golongan kanak-kanak sentiasa diperkasa.

Justeru, beliau menyokong penuh Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 kerana yakin ia akan memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak serta mencerminkan iltizam negara dalam menegakkan keadilan dan menjaga kebajikan generasi masa depan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO