Enam Projek Tebatan Banjir Sabah Dijangka Siap Berperingkat Mulai Julai Ini

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Enam projek tebatan banjir di Sabah yang mencatat kemajuan fizikal melebihi 90 peratus dijangka siap secara berperingkat mulai bulan ini hingga Disember 2026, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata antara projek berkenaan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rampayan di Menggatal, RTB Sungai Ketiau di Putatan, RTB Kawasan Persekitaran Lido PLSB Sungai Moyog di Penampang, RTB Sungai Padas di Tenom dan RTB Sungai Anip di Sandakan.

Abdul Rahman berkata enam projek itu adalah sebahagian daripada 15 projek serta kajian berkaitan tebatan banjir di Sabah yang sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan anggaran kos keseluruhan RM1.49 bilion.

Katanya keutamaan pelaksanaan projek di kawasan berisiko tinggi ditentukan berdasarkan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir, khususnya rekod kejadian banjir berulang, kepadatan penduduk, pendedahan aset awam serta keperluan intervensi teknikal di lembangan sungai berkaitan.

Abdul Rahman berkata antara kawasan yang dikenal pasti ialah Kota Kinabalu, Menggatal, Putatan, Penampang, Sandakan, Tenom, Tawau, Kota Belud, Pitas, Kota Marudu, Beaufort dan Tuaran.

“PETRA akan terus memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah secara berfasa berdasarkan tahap risiko, kelulusan peruntukan dan keperluan teknikal bagi mengurangkan impak banjir serta meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai langkah interim serta status pemasangan sistem amaran awal banjir dan telemetri JPS di kawasan berisiko tinggi, beliau berkata PRAB Fasa 3 di Sabah bernilai RM142 juta kini mencapai kemajuan 24 peratus dan dijangka siap pada Julai 2029.

Beliau berkata JPS turut melaksanakan langkah jangka pendek menerusi kerajaan negeri, termasuk kerja membaik pulih sungai bagi melancarkan aliran air sementara menunggu projek tebatan banjir disiapkan. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO