Stesen ECRL Pasir Puteh Berpotensi Rangsang Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah memaklumkan kerajaan sentiasa komited untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri-negeri, termasuk Kelantan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar berkata ini kerana menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), pendekatan pembangunan akan terus memberi penekanan kepada pemerkasaan potensi setempat bagi mewujudkan pertumbuhan yang lebih seimbang, inklusif dan berimpak tinggi.

“Bagi kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh, Kementerian Ekonomi melihat stesen ini bukan sekadar sebagai kemudahan pengangkutan, malah sebagai pemangkin kepada pembangunan industri hiliran, logistik dan aktiviti ekonomi bernilai tambah.

“Perancangan pembangunan tersebut dirangka secara bersepadu berdasarkan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTaECRL) yang disediakan oleh PLANMalaysia.

“Melalui PeGTaECRL, Stesen Pasir Puteh dikenal pasti sebagai stesen yang mempunyai fungsi penumpang serta kargo dan logistik. Kedudukan yang berhampiran dengan Tok Bali Supply Base memberi kelebihan kepada Pasir Puteh untuk berkembang sebagai hab logistik dan industri hiliran.

“Sinergi antara kemudahan rel dan pelabuhan ini berpotensi menarik pelaburan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian bagi menjawab Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkenaan persediaan kementerian bagi menyokong usaha pihak Kerajaan Negeri Kelantan dalam pembangunan ekonomi hiliran sekitar Stesen (ECRL) Pasir Puteh, Jalan Cherang Tuli, Mukim Jeram, Pasir Puteh, Kelantan yang mana akan memberi manfaat besar kepada rakyat setempat.

Pada masa yang sama Ahli Parlimen Paya Besar itu menambah, Kementerian Ekonomi melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang melaksanakan Kajian Pengukuhan Rantaian Bekalan dan Nilai bagi menyokong pembangunan Pantai Timur sebagai hab pengeluaran makanan negara.

Menurut beliau kajian ini antara lain bertujuan memperkukuh keseluruhan rantaian nilai makanan serta mengenal pasti inisiatif yang dapat memanfaatkan infrastruktur strategik termasuk ECRL.

“Antara cadangan yang diberi tumpuan ialah pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (Collection, Processing and Packaging Centre (CPPC)) yang berhampiran stesen ECRL yang dijangka dapat memperluas akses pasaran dalam dan luar negara.

“Sebagai manifestasi komitmen Kerajaan, bagi tahun 2026, sebanyak 46 projek telah diluluskan bagi Parlimen Pasir Puteh dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM207.2 juta.

“Antara projek yang berkaitan ialah Projek Pengambilan Tanah dan Pembangunan Infrastruktur Kawasan Industri di Cherang Tuli, Pasir Puteh yang akan menyokong aktiviti industri hiliran berhampiran stesen kargo ECRL,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO