Pemantauan Digital Mampu Perkukuh Penguatkuasaan Rantaian Bekalan Padi Dan Beras
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berpandangan kerajaan perlu membangunkan sistem pemantauan yang lebih moden dan berasaskan digital bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap rantaian bekalan padi dan beras di negara ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata pendekatan penguatkuasaan ketika ini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pemeriksaan fizikal dan tindakan yang hanya diambil selepas sesuatu kesalahan berlaku.
“Penguatkuasaan padi dan beras tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pemeriksaan fizikal dan tindakan selepas kesalahan berlaku. Kerajaan perlu membangunkan sistem digital yang mampu memantau lesen, stok, permit pemindahan, lokasi gudang, pergerakan bekalan dan harga jualan secara lebih tersusun.
“Saya mencadangkan supaya Kementerian membangunkan sistem pemantauan rantaian bekalan beras secara digital. Sistem ini boleh merangkumi lesen digital, e-permit pemindahan beras, rekod stok berkala, pelaporan harga dan dashboard bekalan mengikut daerah.
“Dengan pendekatan ini, Kerajaan boleh mengesan lebih awal pergerakan luar biasa, kekurangan bekalan atau kawasan yang berisiko mengalami gangguan harga.
“Dalam dunia hari ini, penguatkuasaan mesti bergerak bersama data. Tanpa data, kita hanya akan mengejar kesalahan selepas rakyat sudah terkesan,” katanya.
Suhaimi berkata demikian ketika mengambil bahagian pada perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau negara memerlukan undang-undang yang lebih tegas untuk melindungi bekalan beras, membanteras penyeludupan dan menghukum pihak yang memanipulasi rantaian makanan.
Namun katanya, ketegasan undang-undang mesti disertai keadilan pelaksanaan.
“Peniaga kecil jangan dipukul sama seper sindiket besar. Pesawah jangan terus menjadi pihak paling lemah dalam rantaian nilai.
“Sabah, khususnya Libaran dalam daerah Sandakan, jangan dilihat sekadar sebagai kawasan pengguna, tetapi sebagai kawasan strategik yang memerlukan penguatkuasaan, bekalan dan logistik yang lebih tersusun,” ujar beliau. – UMNO Online
