KPT Perluas Kolej Kediaman IPTA Melalui Kerjasama Awam-Swasta

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan Kementerian sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa pelajar, terutama kepentingan menyediakan kolej kediaman sebagai penempatan yang sejahtera dan selamat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata hasil kerjasama kementerian dengan Majlis Perumahan Universiti-universiti Malaysia dan libat urus bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa, satu dasar kemudahan kolej kediaman di institusi pendidikan tinggi awam telah dibangunkan pada November 2024.

“Ia bagi menyasarkan untuk menyediakan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrollment pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal menjelang tahun 2035 di semua universiti awam dan politeknik seluruh negara.

“Seterusnya, bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa di universiti, lebih banyak kolej kediaman pelajar dibangunkan sebagai pelan jangka panjang KPT untuk keselesaan mereka, terutamanya yang melibatkan pelajar golongan B40,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian ketika menjawab Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berkenaan langkah konkrit Kerajaan bagi mengatasi kekurangan kolej kediaman sehingga memaksa ramai pelajar menyewa di luar kampus dengan kos yang tinggi.

Menurut beliau sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12, iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, dan Rolling Plan pertama Rancangan Malaysia Ke-13, KPT telah menerima peruntukan hampir RM1.1 bilion bagi penggantian, naik taraf dan pemulihan infrastruktur dan peralatan usang di IPTA.

Katanya inisiatif ini melibatkan kerja-kerja penambahbaikan, pemuliharaan, pengubahsuaian dan menaik taraf prasarana di IPTA.

“KPT turut menaik taraf dan membaik pulih asrama sedia ada menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah hampir RM225 juta sepanjang tempoh RMK-12 dan Rolling Plan pertama RMK-13. Dalam masa yang sama, sebanyak 36 projek kolej kediaman di IPTA dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta (PPP) sepanjang tempoh yang sama.

“Daripada jumlah tersebut, 15 projek telah siap dibina melalui kaedah PPP yang mampu menampung hingga 45,000 orang pelajar. Bagi hala tuju seterusnya dalam tempoh RMK-13, Kerajaan berhasrat untuk membina lima buah kolej kediaman baru di universiti awam yang dijangka dapat menampung sehingga 21,000 orang pelajar melalui kaedah PPP.

“Kesemua usaha dan inisiatif ini adalah refleksi kepada usaha berterusan dan komitmen KPT dalam memastikan penyediaan penginapan pelajar adalah selari dengan aspirasi menjamin kebajikan dan kesejahteraan pelajar di IPT,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO