PRN: Undi BN Demi Mandat Kukuh Johor
KULAI, 10 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh mandat yang lebih kukuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi menjamin kesinambungan kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, kekuatan Johor selama ini terletak pada semangat Bangsa Johor yang tidak ada di negeri-negeri lain malah ia menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli.

Menurut beliau, sepanjang tempoh berkempen, kepimpinan dan jentera BN kekal mengamalkan politik berhemah meskipun diasak dengan pelbagai tohmahan dan serangan daripada pihak lawan.
“Walaupun dihimpit kiri dan kanan serta dilemparkan pelbagai tuduhan, Menteri Besar Johor terus berada di barisan hadapan memimpin perjuangan demi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat diteruskan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Barisan Nasional Kulai, petang tadi.
Turut serta dalam program tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO Bahagian Kulai yang juga calon DUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; calon BN Bukit Batu, R. Kumaran dan calon BN DUN Senai, Kiki Tai.
Reezal Merican turut menyeru rakyat Johor memberikan sokongan padu kepada BN pada hari pengundian agar kerajaan negeri terus diberi mandat yang lebih kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan.

Beliau berkata, kemenangan BN di Johor bukan sahaja penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat negeri itu, malah diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan dan keyakinan rakyat di negeri-negeri lain.
“Mudah-mudahan Johor kembali mencatat kemenangan dengan mandat yang lebih kukuh berbanding sebelum ini demi masa depan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya lagi.
Hari pengundian PRN Johor ke-16 berlangsung esok melibatkan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. – UMNO Online
