Pecutan Akhir BN Johor: Ahmad Zahid Yakin Gelombang Baharu Bawa Kemenangan
KULAI, 10 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh jentera agar meneruskan pecutan terakhir menjelang tamat tempoh berkempen, sambil menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini membawa gelombang baharu yang memberi keyakinan kepada BN untuk kembali memperoleh mandat kukuh daripada rakyat.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, walaupun tempoh berkempen berakhir pada jam 12 tengah malam, tugas jentera BN belum selesai kerana hari pengundian merupakan detik paling penting dalam memastikan setiap penyokong keluar menunaikan tanggungjawab.

“Kita hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk membuat pecutan terakhir. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera, rakan-rakan parti komponen dan jentera tempatan yang telah bertungkus-lumus sepanjang kempen. Jangan fikir tugas tamat hari ini kerana esok lebih penting,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Munajat BN Kulai, hari ini.
Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkannya sebagai pemimpin muda berprestasi tinggi sehingga berjaya meletakkan Johor sebagai antara negeri paling cemerlang dari segi pembangunan dan ekonomi.
Menurut beliau, di bawah pentadbiran Onn Hafiz, Johor merekodkan pertumbuhan ekonomi yang mengatasi kadar nasional selain berjaya menarik pelaburan berjumlah RM276 bilion, satu pencapaian yang membuktikan kemampuan kerajaan negeri membawa kemajuan kepada rakyat.
“Anak muda ini benar-benar berprestasi. Johor berada di hadapan dalam pelbagai aspek dan mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi dengan nilai pelaburan yang sangat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata, suasana PRN kali ini juga berbeza berbanding pilihan raya terdahulu apabila rakyat dapat menilai sendiri kestabilan dan prestasi kerajaan negeri yang dipimpin Onn Hafiz.
Mengimbas situasi politik selepas Pilihan Raya Umum 2018, Ahmad Zahid berkata pertukaran kerajaan dan kepimpinan yang berlaku beberapa kali telah memberi pengajaran bahawa kestabilan politik amat penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Sudah berlaku beberapa kali pertukaran kerajaan dan macam-macam perkara berlaku. Jadi, tidak perlu lagi mengganggu kestabilan yang sedang dinikmati rakyat Johor,” katanya.
Beliau menegaskan BN bukan sebuah parti yang hanya muncul ketika pilihan raya, sebaliknya terus berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa.
“BN bukan parti bermusim. BN ialah parti perkhidmatan yang sentiasa bersama rakyat dan terus bekerja menyelesaikan pelbagai isu,” katanya.

Dalam sidang media selepas program itu, Ahmad Zahid sekali lagi merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN serta parti-parti komponen yang disifatkan bekerja sebagai satu pasukan sepanjang kempen.
Beliau berkata kerjasama erat, gerak kerja tersusun serta penggunaan media sosial yang berkesan memberi keyakinan bahawa rakyat Johor bersedia memberikan mandat kepada BN.
“Saya melihat kali ini semua bekerja atas nama pasukan BN. Inilah gelombang baharu untuk BN dan kita yakin bangsa Johor mahukan kemenangan serta kestabilan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online
