Jafry Yakin Sokongan Pengundi Komuniti Sabah Bersama BN

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Barisan Nasional (BN) terus memperkukuh gerak kerja mendekati pengundi, termasuk komuniti Sabah yang menetap di Johor, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan keyakinan sokongan terhadap parti itu semakin positif.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, sambutan yang diterima sepanjang siri kempen bersama masyarakat Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas memberi petanda baik bahawa BN berada di landasan tepat untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Beliau berkata, UMNO Sabah diberikan amanah membantu gerak kerja kempen di DUN Permas dan Johor Jaya, dengan fokus utama tertumpu di Permas yang kini disandang oleh BN.

“Daripada maklum balas yang kita terima sepanjang bertemu rakyat, khususnya masyarakat Sabah di sini, saya melihat sokongan yang sangat memberangsangkan.

“Insya-Allah, dengan komitmen seluruh jentera serta usaha berterusan mendekati pengundi, saya yakin BN mampu mempertahankan DUN Permas pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Gerakan Masyarakat Desa di Taman Cendana, Pasir Gudang.

Menurut Jafry, komuniti Sabah di Johor bukan sahaja semakin berkembang, malah menjadi sebahagian daripada pembangunan negeri selepas sekian lama menetap dan membina kehidupan di Johor.

Beliau memaklumkan kira-kira 380 pengundi berasal dari Sabah berada di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Cendana, manakala jumlah keseluruhan masyarakat Sabah yang menetap di dua DUN iaitu Permas dan Johor Jaya dianggarkan hampir 13,000 orang.

Katanya, masyarakat Sabah di Johor sentiasa menghargai suasana kestabilan dan peluang yang disediakan kerajaan negeri, sekali gus menjadi faktor penting yang menyumbang kepada keyakinan mereka terhadap kepimpinan BN.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan memberikan mandat yang kukuh kepada BN demi memastikan kesinambungan kestabilan politik, pembangunan serta kebajikan rakyat Johor terus diperkasakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO