BN Miliki Pengalaman dan Keupayaan Realisasikan Manifesto – Khaled Nordin
KOTA TINGGI, 5 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan persamaan antara manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuktikan banyak idea yang diketengahkan oleh parti tersebut sebenarnya telah lama menjadi fokus kerajaan BN.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, persoalan utama bukan lagi siapa yang mampu mengemukakan manifesto yang menarik, sebaliknya siapa yang benar-benar mempunyai rekod, pengalaman dan keupayaan untuk melaksanakan setiap janji kepada rakyat.
“Manifesto PH ini memang ada banyak persamaan dengan manifesto BN. Apa yang dijadikan sebagai janji oleh kedua-dua parti tidak banyak bezanya. Semuanya realistik dan pragmatik.
“Tetapi yang membezakan ialah keupayaan serta kemampuan untuk melaksanakannya. Berjanji itu mudah, namun menunaikan janji dalam pentadbiran sebenar memerlukan pengalaman, kebijaksanaan dan kesungguhan.
“Kalau lihat kepada calon-calon BN, didapati bahawa terdapat banyak gandingan antara yang lama dan yang baru terdiri daripada Menteri Besar, Exco dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, ia jauh berbanding dengan calon-calon PH yang semuanya rata-rata baru yang mahu mengurus dan mentadbir negeri ini.
“Mengurus dan mentadbir negara ataupun negeri ini bukan sesuatu yang mudah. Kita boleh janji, tetapi kita juga tahu banyak cabaran-cabaran dan perkara-perkara yang sangat-sangat kompleks.
“Ia memerlukan pengalaman, kesungguhan dan sebagainya untuk pastikan manifesto itu betul-betul boleh terjemah dan dilaksanakan.
“Kita harap rakyat dapat benar-benar beri penilaian siapa yang sewajarnya, yang berkeupayaan dan berkemampuan untuk memerintah, mentadbir, dan menguruskan negeri ni,” katanya lagi.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menjelaskan hubungan serta jaringan yang telah lama diwujudkan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan dan pembangunan negeri.
“Pelaburan, kerjasama hendak jayakan negeri antara Malaysia dan Singapura tentunya ada hubungan ‘networking’ yang telah dijalinkan, semua itu harus diambil kira.
“Bukannya alih-alih letak semua orang baharu, semuanya akan berlaku secara automatik. Dua atau tiga tahun pun mungkin mereka masih lagi belajar mengurus dan mentadbir, masih lagi kekok dan belum benar-benar memahami selok-belok pentadbiran,” katanya lagi.
Katanya lagi, banyak agenda pembangunan serta usaha menarik pelaburan berjaya digerakkan hasil pengalaman dan sumbangan pemimpin UMNO dalam kerajaan.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled mengingatkan rakyat agar tidak melupakan pengalaman ketika negara pernah ditadbir sepenuhnya oleh PH.
“Kita kena ingat, beberapa tahun dahulu negara pernah mempunyai kerajaan yang sepenuhnya diterajui PH. Namun rakyat akhirnya tidak menyokong mereka kerana banyak perkara yang dilakukan tidak masuk akal dan akhirnya tidak mampu dilaksanakan,” ujarnya. – UMNO Online
