Prestasi Kerajaan Johor Bukti Keupayaan BN, Pengundi Perlu Nilai Rekod – Calon BN DUN Kukup

TANJUNG PIAI, 3 Julai – Pengundi Johor diseru membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian kerajaan dan bukannya dipengaruhi persepsi atau emosi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Haji Israk Abdullah berkata, hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat tidak boleh dipisahkan kerana tanggungjawab utama seorang pemimpin adalah memahami serta menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu sentiasa turun padang, mendekati masyarakat dan memahami apa yang mereka perlukan. Pejabat wakil rakyat dan masyarakat tidak boleh dipisahkan kerana di situlah tempat rakyat mendapatkan bantuan dan menyampaikan suara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program kempen PRN Johor di DUN Kukup.

Menurut beliau, manifesto BN merupakan kesinambungan kepada pelbagai dasar serta inisiatif yang telah dibuktikan pelaksanaannya oleh kerajaan negeri.

“Manifesto BN bukan sekadar janji. Banyak perkara telah dilaksanakan dan apa yang dibawa kali ini adalah kesinambungan kepada agenda pembangunan untuk lima tahun akan datang.

“Ia merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, kebajikan, pembangunan golongan muda dan ekonomi yang sememangnya menjadi keutamaan rakyat Johor,” katanya.

Israk berkata, kejayaan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuktikan kestabilan politik menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Johor berjaya menarik pelaburan dan mencatat hasil negeri yang tinggi. Ini menunjukkan apabila kerajaan stabil, ekonomi menjadi kukuh dan hasilnya dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan serta pembangunan.

“Sebab itu saya menyeru pengundi supaya menilai berdasarkan prestasi dan rekod pentadbiran yang telah terbukti, bukannya persepsi semata-mata,” ujar beliau.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO