Kombinasi Jentera Pelbagai Peringkat Semarakkan Lagi Kempen BN Di Sembrong
SEMBRONG, 3 Julai – Semarak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus diperkasakan apabila kepimpinan dan jentera UMNO Perlis turun padang membantu gerak kerja Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sembrong.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, seluruh jentera negeri itu komited berganding bahu dengan kepimpinan serta jentera tempatan bagi memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga FELDA di FELDA Ulu Penggeli, dalam DUN Kahang yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurutnya, UMNO Perlis diberi amanah sebagai Negeri Angkat bagi Parlimen Sembrong sempena PRN Johor kali ini dan akan terus memperkukuh gerak kerja kempen sehingga hari pengundian.
“Insya-Allah, seluruh jentera Perlis akan terus bekerja sehabis baik, berganding bahu dengan kepimpinan dan jentera tempatan demi memastikan kemenangan BN di Sembrong,” katanya.
Rozabil berkata, sambutan yang cukup menggalakkan daripada masyarakat FELDA sepanjang program itu membuktikan semangat kebersamaan rakyat untuk terus mempertahankan kestabilan serta memastikan kesinambungan agenda Maju Johor.
Beliau turut menegaskan, kesepaduan antara jentera negeri angkat dan jentera tempatan menjadi kekuatan penting dalam memastikan momentum kempen BN terus meningkat menjelang hari pengundian.- UMNO Online
