Perpaduan Kunci Kemajuan, Kekalkan Stabiliti Demi Masa Depan Negeri Johor
BAKRI, 1 Julai – Semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi tunjang kekuatan Johor perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan bagi memastikan negeri ini terus berada di landasan kemajuan menjelang tahun 2030, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, kehadiran masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli yang berhimpun dalam suasana harmoni membuktikan kekuatan sebenar Bangsa Johor yang menjadi asas kepada kestabilan serta kemakmuran negeri.

“Kagum melihat jentera-jentera kita dan masyarakat di kawasan Bakri ini. Apabila kita melihat masyarakat berbilang kaum berkumpul pada petang ini, orang Melayu, orang Cina, masyarakat India dan Orang Asli berkumpul sebagai satu keluarga iaitu Keluarga Bangsa Johor.
“Semangat perpaduan ini harus kita teruskan kerana kita mempunyai aspirasi dan visi untuk menjadi sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap pada program Sembang Santai bersama masyarakat di Dewan Cenderawasih, di sini petang tadi.
Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bentayan Chua Lee Huat, DUN Simpang Jeram Datuk Azman Ismail dan DUN Bukit Naning Mohd Ghazali Sabari.
Selanjutnya ujar Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor, slogan ‘Maju Johor’ yang diperkenalkan kerajaan negeri tidak akan dapat direalisasikan sekiranya rakyat hidup dalam keadaan berpecah-belah.
Tegasnya, kestabilan politik dan perpaduan rakyat menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan Johor mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan sejak empat tahun kebelakangan ini.
“Tidak mungkin kita boleh menjadi sebuah negeri yang maju jika masyarakat majmuknya berpecah-belah. Alhamdulillah, dalam tempoh empat tahun kita memimpin Johor, hasil negeri terus meningkat dan pelaburan juga terus meningkat,” ujarnya.
Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa Johor merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM110 bilion pada tahun lalu, sekali gus muncul sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi di Malaysia.
Dalam masa yang sama, beliau berkata data terkini yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor mencapai lapan peratus, mengatasi kadar pertumbuhan KDNK nasional sebanyak 5.2 peratus.
“Ini menunjukkan ekonomi Johor berada dalam keadaan yang baik, stabil dan berkembang dengan begitu pesat.
“Apabila ekonomi Johor meningkat, hasil negeri juga dapat dipulangkan semula kepada Bangsa Johor melalui pelbagai inisiatif dan program kebajikan rakyat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Johor agar terus mempertahankan kestabilan dan perpaduan yang dikecapi hari ini demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat. – UMNO ONLINE
