Malaysia Aktif Pertahan Kepentingan Negara Dalam Siasatan Tarif AS – Johari Ghani
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengambil bahagian secara aktif dalam siasatan yang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS) berkaitan penguatkuasaan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia telah mengemukakan komen bertulis, menyertai sesi pendengaran awam serta mengambil bahagian dalam sesi konsultasi bagi kedua-dua siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa AS.
Katanya, pada 2 Jun 2026, Amerika Syarikat mengumumkan penemuan awal siasatan melibatkan 60 negara yang didakwa gagal menguatkuasakan larangan import ke atas produk yang dihasilkan menerusi amalan buruh paksa.

“Malaysia merupakan antara 54 negara yang didapati tidak mempunyai sebarang sekatan perundangan terhadap kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa. Sementara itu, enam negara lagi didapati mempunyai undang-undang berkaitan tetapi gagal menguatkuasakan larangan pengimportan tersebut.
“Susulan penemuan itu, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah mencadangkan dua kadar tarif iaitu 10 peratus bagi negara yang mempunyai undang-undang berkaitan dan 12.5 peratus kepada negara yang tidak mempunyai peruntukan berkenaan.
“Bagaimanapun, Malaysia telah dicadangkan kadar tarif yang lebih rendah iaitu 10 peratus sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara dalam melaksanakan peruntukan-peruntukan berkaitan Agenda Perdagangan Bertanggungjawab (ART), termasuk usaha menangani isu buruh paksa,” katanya.
Beliau menjawab soalan dari Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) yang minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan apakah status terkini pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kerajaan Malaysia memaklumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Agreement on Reciprocal Trade – ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober 2025 masih belum diratifikasi oleh kedua-dua negara.
Ujarnya, pada 20 Februari 2026, Mahkamah Agung Amerika Syarikat (SCOTUS) memutuskan bahawa pengenaan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Keputusan SCOTUS tersebut, semua tarif timbal balas di bawah IEEPA adalah terbatal. Bagi memastikan tarif tambahan terus dikenakan, Presiden Trump telah mengumumkan tarif global baharu pada kadar 10 peratus ke atas barangan yang diimport ke AS di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 berkuat kuasa pada 24 Februari 2026.
“Ini merupakan langkah sementara kerana Seksyen 122 hanya membenarkan pengenaan tarif selama 150 hari dan pada kadar maksimum 15 peratus. Oleh itu, berdasarkan Seksyen 122, pengenaan tarif 10 peratus ini dijangka akan berakhir pada 24 Julai 2026,” katanya lagi.
Seterusnya kata Johari lagi, sebagai usaha untuk menjadikan tarif sebagai instrumen yang kekal dan sah dalam menangani isu defisit dalam imbangan pembayaran.
“Pada 11 dan 12 Mac 2026, AS melalui Pejabat Wakil Perdagangan AS (United States Trade Representative – USTR) telah mengumumkan permulaan siasatan di bawah Seksyen 301, Akta Perdagangan 1974 ke atas negara-negara rakan dagangnya termasuk Malaysia.
“Siasatan yang bermula pada 11 Mac 2026 adalah berasaskan dakwaan bahawa industri dan pengilang di 16 negara menerima bantuan serta sokongan kerajaan yang menyebabkan lebihan kapasiti pengeluaran melebihi permintaan domestik,” jelasnya.
Ujarnya lagi, keadaan ini didakwa mendorong lambakan eksport ke pasaran AS dan menjejaskan daya saing industri tempatan negara itu,” . – UMNO Online
