Najib Santuni Penduduk, Dekati Rakyat Melalui Program Komuniti Di Parit Yaani

PARIT YAANI, 21 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat menerusi pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di kawasan Parit Yaani.

Memulakan hari dengan sarapan pagi dan secawan kopi bersama penduduk di Anjung Desa, Najib yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani meluangkan masa beramah mesra serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat setempat dalam suasana santai dan penuh kekeluargaan.

Menurut beliau, pendekatan turun padang dan mendekati rakyat secara bersemuka amat penting bagi memastikan setiap isu serta keperluan masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat.
Pada sebelah petang pula, beliau berkesempatan mengunjungi Pasar Malam Taman Flora bagi meninjau suasana perniagaan serta bertemu para peniaga dan pengunjung yang hadir.

Kehadiran beliau disambut mesra oleh masyarakat setempat yang mengambil peluang untuk bertukar pandangan serta berkongsi pelbagai perkara berkaitan kehidupan harian dan pembangunan kawasan.

Suasana pasar malam yang meriah dengan pelbagai gerai makanan, minuman dan barangan keperluan jelas membuktikan aktiviti ekonomi komuniti terus berkembang serta menjadi antara lokasi tumpuan penduduk untuk beriadah dan membeli-belah bersama keluarga.

Dalam perkembangan sama, Program Jualan Kasih Johor DUN Parit Yaani turut melakar kejayaan apabila mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat sepanjang berlangsungnya program berkenaan.

Najib merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut serta kepada penduduk yang hadir memberikan sokongan.

“Alhamdulillah, Jualan Kasih Johor DUN Parit Yaani telah melabuhkan tirainya dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat. Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan sepanjang program ini berlangsung.

“Semoga inisiatif yang dibawa memberi manfaat kepada rakyat serta membantu meringankan kos sara hidup masyarakat. Insya-Allah, kita akan terus berusaha membawa lebih banyak program yang bermanfaat dan bertemu lagi dalam program akan datang,” katanya.

Program seumpama itu dilihat bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat selaras dengan aspirasi UMNO yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO