Onn Hafiz Pertahan Prinsip Johor, Persoal Dakwaan Tidak Sehaluan Dengan Kerajaan Persekutuan
JOHOR BAHRU, 17 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat, sambil mempertahankan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam satu kenyataan, beliau mengambil maklum pandangan Perdana Menteri yang menyatakan rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Onn Hafiz, pelantikan Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi dibuat berdasarkan prinsip serta suara majoriti Bangsa Johor.
“Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?” soal beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan daripada mana-mana pihak, namun mempunyai amanah dan tanggungjawab untuk memelihara Institusi Diraja serta memastikan kesejahteraan rakyat Johor terus terjamin.
Onn Hafiz menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri selama ini telah membantu pelbagai sektor yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan termasuk pendidikan, keselamatan, pertahanan dan kesihatan demi memastikan rakyat Johor menerima manfaat terbaik.
Beliau berkata kerajaan negeri setiap tahun menyalurkan bantuan kepada sekolah dan bilik guru, selain membantu kemudahan CIQ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera, hospital serta klinik kesihatan di seluruh negeri.
Malah, apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.
“Bagi Kerajaan Negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau dengan rendah hati mempersoalkan dakwaan bahawa Johor tidak memberikan kerjasama atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam perkara apakah Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” katanya lagi. – UMNO Online
