Kerajaan Digesa Tubuh Tribunal Khas Siasat Isu Rohingya Dan Sindiket Penyeludupan
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa Kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera bagi menangani isu lambakan pendatang etnik Rohingya serta dakwaan kewujudan sindiket penyeludupan manusia yang dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan keharmonian negara.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, berkata isu Rohingya bukan sahaja melibatkan aspek kemanusiaan, malah kini turut dikaitkan dengan masalah penempatan haram, eksploitasi wanita dan kanak-kanak serta kegiatan penyeludupan manusia yang didakwa beroperasi secara terancang.
Menurut beliau yang juga Veteran UMNO, etnik Rohingya yang berasal dari negeri Rakhine, Myanmar, telah lama berdepan isu kewarganegaraan dan penganiayaan sehingga menyebabkan ramai daripada mereka menjadi pelarian di beberapa negara termasuk Malaysia.

“Malaysia sentiasa bersimpati terhadap penderitaan etnik Rohingya. Namun, perkembangan semasa menunjukkan terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap nasib mereka melalui aktiviti penyeludupan dan eksploitasi yang boleh membawa kesan negatif kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, peningkatan jumlah pendatang Rohingya di Malaysia turut dikaitkan dengan kewujudan penempatan haram di beberapa kawasan, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan sosial.
Dalam pada itu, beliau merujuk kepada pendedahan yang dibuat oleh peguam, Nurul Hafizah Hassan, berhubung dakwaan wujudnya sindiket penyeludupan etnik Rohingya yang melibatkan pembayaran wang dalam jumlah besar serta rangkaian ejen tempatan dan asing.
Ujarnya, dakwaan tersebut turut membabitkan kemasukan wanita dan kanak-kanak Rohingya ke Malaysia secara tidak sah, termasuk untuk tujuan perkahwinan dan aktiviti lain yang berpotensi membawa kepada eksploitasi golongan rentan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua dakwaan yang dikemukakan, termasuk kemungkinan wujud unsur rasuah, pemerdagangan manusia dan penyalahgunaan kuasa dalam proses kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.
“Sekiranya dakwaan ini benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mereka,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memohon agar Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan untuk menggesa Kerajaan Madani menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat isu tersebut secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.
Menurut persatuan itu, tribunal berkenaan penting bagi mengenal pasti punca sebenar masalah, menutup ruang kegiatan sindiket serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau juga menegaskan bahawa langkah penyelesaian yang berkesan perlu mengambil kira aspek keselamatan negara, pematuhan undang-undang serta prinsip kemanusiaan terhadap golongan pelarian yang menjadi mangsa konflik dan penindasan. – UMNO Online
