Politik Perkauman Murahan Tidak Laku di Johor – Hasrunizah

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Exco Wanita UMNO Malaysia, Hasrunizah Hassan menyelar pihak tertentu yang terus memainkan naratif perkauman sempit bagi meraih sokongan politik, sambil menegaskan taktik lapuk itu tidak mempunyai tempat di Johor yang selama ini terkenal dengan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Menurutnya, tuduhan kononnya terdapat kaum tertentu yang dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri Johor adalah dakwaan tidak berasas yang sengaja direka bagi memburukkan imej kerajaan serta menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat.

Katanya, pihak yang gemar memainkan sentimen perkauman seolah-olah ketandusan idea dan gagal menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat sehingga terpaksa menjadikan isu kaum sebagai senjata politik.

“Tuduhan berunsur perkauman yang tidak berasas hanya akan menghakis perpaduan serta menjejaskan keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan Negeri Johor.

“Tiada mana-mana kaum yang dipinggirkan kerana setiap inisiatif yang diperkenalkan berteraskan prinsip keadilan, keperluan serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dalam memastikan setiap dasar, program dan bantuan yang dilaksanakan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang,” katanya.

Mengulas lanjut Hasrunizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian menegaskan, rakyat semakin muak dengan politik adu domba yang sengaja dimainkan untuk menutup kelemahan serta kegagalan pihak tertentu.

“Dalam sebuah masyarakat majmuk, politik seharusnya dinilai berdasarkan dasar yang dibawa, prestasi yang ditunjukkan dan keupayaan mentadbir demi kepentingan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO