Jangan Salah Tafsir, Penolakan Kerjasama Dengan Dap Bukan Isu Perkauman
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pendirian Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak wajar disalah tafsir sebagai kenyataan berbaur perkauman.
Demikian tegas Exco Wanita UMNO Malaysia Datuk Waheedah Faruz Telahah ekoran hal terbabit menjadi polemik berpanjangan.
Menurut beliau, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pelancaran Jentera BN di Iskandar Puteri baru-baru ini perlu dilihat dalam konteks politik yang sebenar iaitu hasrat BN Johor untuk mendapatkan mandat rakyat berdasarkan kekuatan, prinsip dan perjuangan parti itu sendiri.

“Pendirian untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik adalah hak setiap parti dalam menentukan hala tuju serta strategi politik mereka. Ia sama sekali tidak boleh ditafsirkan sebagai penolakan terhadap mana-mana kaum atau agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Selayang menekankan bahawa Dap merupakan sebuah parti politik yang berdaftar sebagai parti pelbagai kaum dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Oleh itu, katanya, keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Dap tidak boleh secara automatik dianggap sebagai penolakan terhadap masyarakat Cina.
Dalam masa yang sama, Waheedah menyifatkan Onn Hafiz sebagai antara pemimpin UMNO yang sederhana, progresif serta dekat dengan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, sekali gus menolak sebarang dakwaan yang cuba melabelkan beliau sebagai bersikap perkauman.
Mengulas mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, beliau berkata situasi tersebut tidak boleh disamakan dengan landskap politik Johor kerana kerajaan itu diwujudkan selepas PRU15 dalam keadaan Parlimen tergantung dan demi menjamin kestabilan negara.
“UMNO dan BN kekal komited untuk menyokong serta mendokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, namun ia tidak menjejaskan hak BN Johor untuk menentukan strategi politiknya sendiri di peringkat negeri,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menghentikan usaha memanipulasi kenyataan Menteri Besar Johor bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap BN.
Menurutnya lagi, BN Johor berhak menawarkan pilihan kepada rakyat berdasarkan identiti, prinsip dan kekuatan sendiri, selaras dengan aspirasi untuk terus membawa agenda ‘Tradisi Membela Rakyat’ serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh Bangsa Johor. – UMNO Online
